Sambutan 'kongsi raya' yang diamalkan di negara ini merupakan pertemuan sosial antara masyarakat Malaysia dan tidak berbentuk perhimpunan agama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh itu, katanya, sambutan 'kongsi raya' di negara ini akan diteruskan selagi ia tidak berbentuk perhimpunan agama.

"Perayaan-perayaan itu telah disambut dengan baik dan tidak timbul masalah antara kaum. Ia juga bukan acara keagamaan tetapi satu acara sosial tanpa istiadat dan upacara agama untuk disaksikan oleh pengunjung dan mereka yang hadir," katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut isu tersebut, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah membincangkan kewajaran sambutan "Kongsi Raya" itu sebelum membuat keputusan menganjurkan.

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Menurut Bernama, beliau diminta mengulas mengenai laporan media yang menyebut antara lain para ulama di Muzakarah Ulama 2006 Selasa lalu meminta kerajaan mengkaji semula amalan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan amalan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Laporan itu memetik Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria sebagai berkata ia perlu memandangkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

Digemari rakyat

Sehubungan itu, Abdullah berkata, sejak sambutan kongsi raya diadakan, tidak ada upacara keagamaan disertakan dalam majlis itu, tetapi dipenuhi pertunjukan kebudayaan dan kesenian rakyat Malaysia.

"Pertunjukan itu bukan satu acara keagamaan, dan bagi saya, tak akan menggoncang keimanan kita," katanya.

Tambahan pula, katanya, sambutan kongsi raya telah menjadi satu acara yang digemari rakyat Malaysia.

"Ini macam kita buat rumah terbuka semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, tetamu datang ucap Selamat Hari Raya, dan kalau rumah terbuka Tahun Baru Cina, kita pergi ucap Selamat Tahun Baru Cina. Sama juga macam Hari Deepavali, kita ucap Selamat Hari Deepavali," katanya.

Oleh itu, Abdullah meminta masyarakat tidak menjadikan isu Kongsi Raya itu sebagai polemik yang boleh "meributkan" keadaan.

Mengulas mengenai laporan bahawa Al-Arqam masih wujud di negara ini, Perdana Menteri berkata perkara itu sedang dipantau oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

"Gerakan ini dah diharamkan, maka saya berharap ia tidak akan timbul lagi," katanya.