Terjemahan Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa telah 'menipu' kerajaan pusat sebanyak RM159.8 juta berikutan kelewatan menyiapkan bangunan Matrade, enggan menggulas mengenai dakwaan tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat agung (AGM) keempatnya di Shah Alam semalam, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Abd Karim Munisar enggan mengulas walaupun berkali-kali ditanya mengenainya.

"Saya tidak boleh ulas kerana Suruhanjaya Sekuriti sedang menyiasat perkara tersebut," kata Abd Karim dalam sidang akhbar yang diadakan selepas AGM tersebut.

Beliau juga enggan mengulas sama ada KHSB syarikat induk Perangsang International Sdn Bhd (PISB) yang mendapat kontrak dari kerajaan pusat untuk membina bangunan Matrade akan bertanggungjawab terhadap jumlah tanggungan anak syarikatnya itu.

KHSB adalah syarikat tersenarai yang dimiliki oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan Selangor Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, Teng Chang Kim telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti terhadap KHSB Selasa lalu kerana didakwanya cuba mengelak daripada membayar gantirugi berjuta-juta ringgit, dengan menjual anak syarikatnya dengan harga RM2.

Pemilik barunya itu kemudiannya membubarkan pemilikannya setahun kemudiannya, mengakibatkan kerajaan pusat tidak memperolehi apa-apa.

Tidak bermutu

Kontrak bangunan Matrade itu pada asalnya diserahkan kepada PISB syarikat pemaju hartanah milik KHSB dan kerja-kerja pembinaannya bermula pada tahun 1994 dan dijadual siap pada 1997.

Bagaimanapun, pembinaannya terlewat selama sembilan tahun sehingga April tahun ini. Ianya akibat kerja-kerja pembinaan yang kurang bermutu oleh PISB, mengakibatkan bangunan tersebut tidak selamat untuk digunakan.

Kontrak PISB akhirnya ditamatkan Mac allu dan kontraktor baru dilantik menjalankan kerja-kerja pembaikan yang membabitkan kos yang tinggi, yang mengakibatkan harga asal projek itu sebanyak RM167 juta, telah meningkatkan menjadi RM287.5 juta.

PISB kemudiannya diarahkan oleh kerajaan pusat supaya membayar sebanyak RM159.8 juta sebagai gantirugi.

Menurut Teng, KHSB kemudiannya telah menjual PISB kepada syarikat Tajuk Modal Sdn Bhd. Pemilik barunya telah menukar nama PISB kepada Tajuk Construction Sdn Bhd.

Tajuk Construction dibubarkan pada Januari tahun ini, sebulan sebelum Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu mendedahkan bahawa kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan pusat akibat kelewatan siapnya pembinaan bangunan Matrade.

Syarikat dibubarkan

Teng mendakwa, langkah membubarkan syarikat bekas PISB, dirancang oleh KHSB, yang mengetahui yang ia akan diminta membayar gantirugi kepada kerajaan pusat.

Langkah tersebut, dakwa Teng lagi, menyebabkan tidak satu sen pun dibayar kepada kerajaan pusat sehingga ini.

Di samping itu, dakwanya, kerajaan pusat juga tidak boleh mendapat sebarang gantirugi daripada para pengarah PISB kerana mereka tidak menandatangani jaminan peribadi dengan syarikat berkenaan.

Teng berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Syarikat yang diperolehinya, Tajuk Modal ditubuhkan pada 23 Mac 2003 empat bulan sebelum ia membeli PISB.

Laporan itu juga menyatakan, kali terakhir Tajuk Modal mengemukakan laporan mengenai syarikat tersebut kepada suruhanjaya berkenaan ialah pada 26 Jun 2004 dan ia tidak dikemaskini sepanjang dua tahun selanjutnya.

Laporan itu menunjukkan bahawa syarikat tersebut dimiliki oleh dua individu Yap Fook Sang dan Chong San yang juga orang yang sama di belakang Tajuk Construction nama baru PSIB.

Teng telah mendesak Menteri Besar Selangor supaya memberi penjelasan mengenainya tetapi Dr Mohd Khir masih membisu. Berita asal