Pemuda Umno Selangor menyifatkan kenyataan bahawa anggota polis akan mengundi parti pembangkang jika kerajaan menubuhkan IPCMC) adalah melampau dan bertentangan dengan ikrar mereka.

Sehubungan itu, Ketua pergerakan tersebut, Abdul Syukur Idrus berkata Pemuda Umno Selangor menyokong penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menjadi badan pemantau kegiatan yang boleh merosakan masyarakat dan negara.

Abdul Syukur berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan yang disiarkan dalam lamanweb Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menolak penubuhan IPCMC danakan menyokong pembangkang dalam pilihanraya, jika kerajaan menubuhkan suruhanjaya tersebut.

Beliau berkata, seandainya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai apa yang mahu disembunyikan, mereka tidak perlu takut dengan penubuhan IPCMC.

Katanya, ini kerana suruhanjaya itu hanya boleh melaporkan aduan tetapi kuasa pemutus tetap dipegang oleh kerajaan.

Sebelum ini, Pemuda MCA, MIC dan Gerakan telah membidas penyiaran laporan lamanweb berkenaan dan mahukan anggota polis menyokong kerajaan BN.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar pula kemudiannya menjelaskan bahawa pasukan polis tetap menyokong kerajaan yang memerintah hari ini.

Rungutan masyarakat

Beliau juga berkata, penyiaran lamanweb itu hanyalah pendapat anggota polis mengenai IPCMC dan untuk makluman di kalangan anggota pasukan itu sahaja.

Mengulas lanjut, Abdul Syukur Idrus pihaknya mendapat tahu bahawa ada sebahagian anggota polis yang tidak jujur sehingga menimbulkan rungutan di kalangan masyarakat.

Katanya, orang ramai sangat memandang tinggi terhadap pasukan polis yang menjaga keselamatan tetapi tindakan di luar undang-undang oleh segelintir anggota polis menyebabkan mereka dipandang serong.

Kenyataan Ketua Pemuda Umno Selangor itu bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh pergerakan itu yang terang-terang menolak penubuhan IPCMC.

Sebelum ini Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim berkata, pihaknya menentang penubuhan suruhanjaya itu kerana ia mahu dilaksanakan oleh pihak tertentu yang mahu melihat kelemahan kerajaan sedia ada.

Idea untuk menubuhkan IPCMC itu adalah lanjutan daripada cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Penambaikan Pasukan Polis yang dilantik oleh kerajaan tahun lalu.