Setelah mendapat suntikan semangat daripada kejayaan kempennya dalam pilihanraya negeri Sarawak bulan lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula menyusun langkah politiknya di semenanjung pula.

Aktiviti politik Penasihat PKR itu akan bermula di dua tempat di Seremban Sabtu ini dan menurut Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PKR, Badrul Hisham Shaharim, pihak polis telah memberi permit untuk majlis tersebut.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Seremban mengeluarkan permit kebenaran tersebut pada jam 4 petang semalam.

Selain Anwar, katanya, calon PKR yang baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan, Dominique Ng Kim Ho dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini, akan turut menyampaikan ucapan.

"Pemimpin lain ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; Naib Presiden, Sivarasa Rasiah dan Ketua Penerangan, Tian Chua," katanya.

Beliau berkata, program ceramah tersebut diadakan di dua tempat, iaitu di Restoran Dragon Palace Oakland, pada 7.30 malam dan di Km 7, Jalan Seremban Tampin (sebelah stesen minyak Esso berhampiran JPJ Seremban) pada 8.30 malam.
Sehubungan itu, Badrul Hisyam mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Seremban, Hasanuddin Hassan yang mengeluarkan permit tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan kawalan keselamatan mencukupi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Poster dikoyak

Beliau berkata, program tersebut adalah anjuran PKR Bahagian Rasah dengan kerjasama Pemuda PKR.

Bagaimanapun, katanya lapan kain pemidang dan hampir 4,000 poster untuk mempromosikan ceramah tersebut telah dikoyakkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bagi mengelakkan perbuatan sabotaj itu berulang, Badrul Hisyam berkata, pihak penganjur akan menghantar terus risalah ke rumah penduduk, pejabat kerajaan dan hospital.

Menurutnya, empat kenderaan yang ditampal dengan poster parti dan dilengkapi pembesar suara akan bergerak di seluruh parlimen Rasah dan Seremban untuk menghebahkan program tersebut.

Katanya, sambutan orang ramai mengenai program tersebut amat menggalakkan di mana 70 daripada 100 meja telah dibeli.

"Kami yakin sasaran menjual 100 buah meja akan tercapai. Ini juga menunjukkan masyarakat masih memberi sokongan padu kepada PKR," katanya lagi.

Jadual Anwar

Sementara itu, menurut Suara Keadilan terbitan terbaru, Anwar juga dijadual menghadiri majlis sepetang bersama Anwar Ibrahim di Air Molek Melaka, juga pada hari Sabtu ini jam 3 petang.

Pada 4 Jun, Anwar dijadual menghadiri majlis diaolog dengan sebuah persatuan di Pulau Pinang jam 3 petang dan pada sebelah malamnya menghadiri ceramah umum di Permatang Tok Panjang, Bukit Mertajam/Batu Kawan.

Pada 5 Jun pula, Anwar akan menghadiri ceramah umum di Kampung Solok Pengkalan Badak, Masjid Tanah Melaka jam 10.30 malam.

Pada hari Selasa (6 Jun) Anwar menghadiri majlis makan malam/dialog dengan masyarakat Cina di Pekan Lama Sungai Petani dan pada malamnya menghadiri ceramah umum di Kota Sarang Semut.