Ironis sekali, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia baru berikrar akan memperjuangkan hak asasi manusia di seluruh dunia kerana terpilih sebagai ahli Jawatankuasa Hak Asasi PBB. Namun sebaliknya, di dalam negeri, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dibiar menggunakan keganasan terhadap peserta perhimpunan aman.

Dalam demonstrasi aman yang dianjurkan Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak/Tarif Elektrik (Protes) di KLCC pada jam 10 pagi 28 Mei 2006, kira-kira 500 peserta telah dileraikan dengan keganasan yang tidak diperlukan, mengakibatkan 20 orang ditangkap dan ramai yang cedera.

Menurut laporan media, Amran Zulkifli yang luka di kepalanya, berdarah sehingga baju hitamnya bertukar menjadi merah.

Bila ditanya pemberita, Amran memprotes: "Saya kehilangan anak saya, FRU datang dari arah belakang dan terus menerus memukul belakang dan kepala saya dengan cota dan perisai mereka. Mereka bukan sekadar pukul, nak kasi mati agakya!"

Lim Ban Teng yang patah tangan kanannya akibat dipukul dengan cota pula mengadu, meskipun peserta demonstrasi menjerit "OK, OK, kita beredar", tetapi FRU terus menyerang tanpa memperdulikan rayuan tersebut.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Zahir Hassan yang cuba melindungi anaknya, telah diserang sehingga rebah di atas jalan, beliau dipijak dan digari di depan anaknya!

'Mempertahankan diri'

Anak petugas GMI, Nashita, juga menangis kerana terlalu takut menyaksikan keganasan polis itu. Selepas berlaku semua ini di mana mangsa bermandi darah, patah tangan dipukul dengan cota, diserang dan rebah di atas jalan lalu dipijak dan digari, di mana rayuan akan beredar secara aman dan keselamatan kanak-kanak juga tidak diambil kira Ketua Polis Dang Wangi ACP Kamal Pasha masih berani mendakwa bahawa anggota polis "hanya menggunakan kekerasan yang minimum untuk mempertahankan diri!"

Tindakan polis yang semakin ganas ini nampaknya telah dirancangkan terlebih dahulu untuk menakutkan rakyat daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Protes, di samping media arus perdana dilarang menyiarkan segala berita berkaitan aktiviti membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik, akibat kemarahan rakyat.

Di samping kutukan terhadap keganasan polis, Amnesty International (AI) Malaysia juga menegaskan bahawa hak berhimpun dan membantah secara aman serta kebebasan bersuara, tidak boleh terpisahkan.

Tambahnya, hak ini telah dijamin dalam Artikel 19 dan Artikel 20 Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia dan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Hujah AI Malaysia seterusnya, kejadian ini menunjukkan kekurangan keazaman politik kerajaan untuk menjamin amalan dan cara operasi polis setaraf dengan standard antarabangsa seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Diraja Siasatan Salahlaku Polis.

Justeru seperti ulasan Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh keganasan polis terbaru ini merupakan alasan yang amat kuat kenapa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) amat diperlukan.

Oleh kerana pegawai polis telahpun mendakwa kekerasan dilakukan untuk mempertahankan diri, maka wajarlah siasatan bebas dilakukan. Jika pihak polis bertindak secara betul, maka sudah pasti badan bebas terbabit akan membersihkan nama baik pasukan polis.

'Patut disiplinkan'

Jika pihak polis menggunakan kekerasan yang berlebihan, maka yang diperlukan ialah badan bebas untuk menyiasatnya, bukan siasatan dalaman yang tidak berkesan seperti yang dilakukan selama ini. Dari segi apapun, badan bebas adalah sesuatu yang wajib.

Kekerasan polis yang semakin menjadi-jadi itu semasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara terang-terangan menolak penubuhan IPCMC seolah-olah untuk menunjukkan bahawa mereka pantang dicabar, dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

Dalam keadaan ini, rasanya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu tampil ke depan untuk menjelaskan sama ada beliau memperkenankan penggunaan keganasan seperti yang berlaku pada kejadian 28 Mei itu.

Jika kerajaan tidak berkenan dengan keganasan dan penyalahgunaan kuasa polis, maka mereka yang bertanggungjawab dalam penggunaan kekerasan yang langsung tidak perlu itu, patut didisiplinkan dengan segera.

Dan garispanduan terperinci mengenai amalan dan cara operasi polis yang setaraf dengan standard antarabangsa seperti dicadangkan oleh Suhakam dan suruhanjaya diraja berkenaan, hendaklah dirangka dan diamalkan dengan segera oleh pasukan polis kita.

Inilah adalah ujian dan cabaran kepada Perdana Menteri kita yang selama ini "kelihatan lesu dan tidak boleh membuat keputusan". Jika pasukan berdisiplin tidak dapat didisiplinkan, maka bencanalah padahnya bagi kesejahteraan rakyat kita!