Mayat dua daripada empat sekeluarga yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Hulu Klang petang semalam sudah ditemui manakala nasib dua kanak-kanak belum diketahui.

Mayat Sunida Gision, 70, dan Hayati Mohd Yunus, 24, ditemui dalam keadaan rentung dalam timbunan tanah dan rumah panjang yang musnah itu, beberapa jam selepas kejadian pada jam 4.45 petang.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Dua lagi mangsa ialah anak Hayati- Elidaya Sharul Fahimin, 4, dan Iqlima Mahmud, 3 tahun.

Menurut laporan Bernama, sehingga jam 1 pagi tadi, kerja-kerja mencari dan menyelamat dua kanak-kanak itu masih giat dijalankan oleh 199 anggota penyelamat yang terdiri daripada pasukan polis, Bomba dan Penyelamat, JPA3 dan Rela.

Ketua Polis Selangor Datuk Yahya Udin mengesahkan empat mangsa tertimbus dalam kejadian yang memusnahkan tiga blok rumah panjang yang didiami 160 orang itu.

Beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan kebakaran di kawasan runtuhan itu apabila tiang elektrik yang tumbang menyebabkan berlakunya litar pintas.

Penempatan sementara

Kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat penempatan sementara iaitu di sebuah surau berhampiran kawasan berkenaan.

Bantuan makanan kepada semua mangsa terbabit diberikan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melawat kawasan itu berkata Yayasan Kebajikan Negara akan memberikan sumbangan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terbabit.

Bantuan akan disampaikan kepada mangsa hari ini.

Beberapa mangsa yang ditemui berkata kejadian itu berlaku dalam sekelip mata ketika kebanyakan mereka baru pulang dari tempat kerja.

Awami Ahmad, 33, berkata ketika kejadian, beliau sedang membuai anaknya yang berusia lapan bulan.

"Saya dengar bunyi pokok tumbang dan bila keluar untuk tengok, saya nampak tanah atas bukit bergerak ke arah rumah kami," katanya yang telah lima tahun tinggal di rumah itu bersama suaminya Ismail Rudin, 34, seorang pekerja kontrak.

Menyedari bahaya yang bakal menimpa, beliau terus mengambil anaknya dan lari menyelamatkan diri.

Kawalan polis

Sementara itu, polis kini mengawal kawasan itu bagi memastikan ia tidak diceroboh.

Menurut jurucakap polis, 16 keluarga dari kawasan perumahan berhampiran turut diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang turut meninjau tempat kejadian, berkata siasatan akan dijalankan ke atas syarikat perumahan yang menjalankan projek perumahan di kawasan itu kerana didapati gagal menyediakan tembok halangan yang kukuh sehingga menyebabkan ia runtuh menimbus rumah panjang terbabit.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Vellu berkata beliau telah mengarahkan unit kejuruteraan cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenal pasti punca kejadian serta memastikan tanah runtuh di situ tidak berulang.

Jurutera JKR sudah dihantar ke kawasan berkenaan, katanya.

Samy Vellu berkata beliau akan menunggu laporan mengenai punca kejadian itu dan tindakan pemulihan yang akan dilakukan sebelum membuat kenyataan lanjut.

"Walaupun belum ada permintaan untuk dapatkan bantuan JKR, saya sudah minta jurutera kami berada di lokasi kerana ia membabitkan nyawa manusia," katanya kepada Bernama di sini, Rabu malam.