Kempen selamatkan Palestin dilancar
Dua pertubuhan mahasiswa Islam melancarkan kutipan RM1 seorang bagi menyelamatkan umat Islam Palestin yang disekat sumber kewangan oleh Israel dan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu.
Dua pertubuhan mahasiswa Islam melancarkan kutipan RM1 seorang bagi menyelamatkan umat Islam Palestin yang disekat sumber kewangan oleh Israel dan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu.
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melancarkan kutipan tersebut di perkarangan Masjid Jamek di ibu negara selepas solat Jumaat hari ini.
Presiden Gamis, Muhammad Haniff Bederun berkata, pihaknya mensasarkan kutipan RM150,000 dalam tempoh sebulan untuk diserahkan kepada Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur sebelum disalurkan kepada rakyatnya.
Katanya, pihaknya mengambil inisiatif tersebut kerana keadaan kewangan kerajaan Palestin dalam keadaan yang amat runcing akibat sekatan bantuan kewangan oleh Israeal, Amerika Syarikat dan sekutunya.
"Kami menyeru mahasiswa dan umat Islam di seluruh negara supaya menghulurkan RM1 seorang bagi meringankan beban rakyat Palestin yang sedang ditindas itu.
"Membantu rakyat Palestin adalah kewajiban umat Islam kerana mereka ditindas sejak sekian lama," katanya semasa berucap melancarkan kempen 'Jom Selamatkan Al Aqsa dan Palestin'serta melancarkan 'Tabung Satu Rakyat- Satu Ringgit' untuk rakyat Palestin.
Muhammad Haniff berkata, kerajaan Palestin amat memerlukan bantuan segera untuk menyediakan perkhidmatan perubatan, petrol dan sebagainya.
Sementara itu, dalam kenyataan bersamanya Gamis dan Karisma mengambil pendirian mahasiswa Islam perlu lebih serius dan komited memperjuangan pembebasan Masjid al Aqsa dan keamanan Palestin.
Katanya, isu Palestin bukan lagi isu umat Islam dan Arab semata-mata sebaliknya merupakan isu kemanusiaan yang perlu mendapat perhatian semua masyarakat.
Kedua-dua pertubuhan pelajar itu juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bertindak proaktif untuk mengadakan sidang khas berkaitan isu Palestin.
Sebelum ini Pemuda PAS telah melancarkan tabung serupa di perkarangan Masjid India untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM3 juta daripada umat Islam di negara ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan Kerajaan Malaysia akan memberi bantuan RM57.6 juta kepada Palestin bagi meringankan beban mereka.

