Pemimpin negara dan rakyat diminta memahami terlebih dahulu konsep dinar emas yang hendak diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan sebelum membuat sebarang ulasan mengenainya, kata seorang ahli ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakob.

Katanya, sebarang reaksi melulu tanpa penyelidikan dan pemahaman terhadap konsep sebenar dinar emas itu akan hanya mengelirukan rakyat.

"Mana-mana pihak yang mahu bercakap mengenai isu ini perlu buat 'homework' dulu. Nampaknya sekarang ada kekeliruan di kalangan pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri sendiri terhadap cadangan kerajaan Kelantan itu,"katanya kepada malaysiakini.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Datuk Husam Musa mengumumkan cadangan pengeluaran dinar emas itu minggu lalu.

Menurut Naib Presiden PAS itu, dinar emas berkenaan akan menjadi alat penyimpan nilai simpanan sahaja, bukannya sebagai matawang baru sebagaimana anggapan sesetengah pihak.

Dr Rosli menjelaskan lagi, dinar emas yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan itu bukan alat perantara kewangan kedua di negara ini kerana undang-undang negara hanya membenarkan Ringgit Malaysia (RM) yang sah diperlakukan sebagai matawang Malaysia.

"Peranan dinar emas Kelantan hanya sebagai tempat penyimpan nilai atau store of value. Ini tidak melanggar undang-undang. Ia dibenarkan kerana kita bukannya mengeluarkan matawang baru," katanya.

Dinar Arab

Beliau menegaskan, dinar emas Kelantan ini tidak sama dengan matawang Dinar yang digunakan di beberapa negara Arab.

"Kita jangan keliru, namanya sahaja sama tetapi fungsi berlainan. Tak ada negara dalam dunia ini yang gunakan emas sebagai tukaran urusniaganya," ujar beliau.

Menurutnya, di bawah cadangan kerajaan Kelantan itu, syiling emas atau dinar akan ditempa mengikut berat tertentu dan akan dijual kepada orang ramai mengikut harga pasaran semasa emas.

Buat permulaannya ia akan dijual di kedai pajak gadai Islam atau Ar-Rahn di seluruh negeri itu. Orang ramai termasuk bukan Islam dari seluruh negara boleh membeli dan menyimpannya serta boleh menjualnya semula pada bila-bila masa mengikut keperluan sendiri.

Dr Rosli berkata, ia sama juga seperti seseorang membeli dan menyimpan barang kemas yang diperbuat daripada emas atau perak, tetapi kali ini mereka membeli dan menyimpan emas atau perak dalam bentuk syiling.

Katanya lagi, jika projek itu dilaksanakan, bekalan syiling atau dinar dan dirham itu akan diperolehi oleh kerajaan Kelantan dari Royal Mint, syarikat pembuat wang syiling negara ini di Shah Alam.

"Kerajaan Kelantan tidak akan mengeluarkan sendiri dinar dan dirham itu tetapi akan menempahnya dari Royal Mint. Ini adalah proses biasa, orang ramai juga boleh menghantar jongkong emas atau barang kemas mereka kepada syarikat ini untuk ditempa dalam bentuk syiling mengikut selera sendiri dengan dikenakan bayaran perkhidmatan tertentu oleh syarikat itu," ujarnya.

Semalam, Husam memberitahu wartawan di Kota Bharu, dinar emas itu akan ditempa dengan berat 3.25 gram mengikut sukatan yang ditetapkan oleh Islam. Satu dirham perak pula beratnya 7 gram. Satu dinar juga bersamaan dengan tujuh dirham.

Dr Rosli menambah, langkah memperkenalkan dinar emas adalah sangat wajar kerana ia dapat membantu mengurangkan kesan inflasi.

Emas stabil

Menurutnya, berbanding dengan komoditi lain, harga emas sangat stabil, kurang risiko turun naik harga.

"Malahan harganya semakin naik dan ini bermakna nilai Ringgit yang disimpan di dalam dinar emas semakin meningkat. Bayangkan empat tahun lalu harga segram emas ialah RM180 tetapi kini melambung hingga RM350. Dan diyakini harga emas akan terus meningkat pada masa depan," jelasnya.

Berdasarkan senario ini, Dr Rosli berkata, kerajaan Pusat sepatutnya menggalakkan rakyat menyimpan dinar emas, bukannya mempersoalkan cadangan dan hasrat kerajaan Kelantan itu.

"Cadangan ini amat baik untuk rakyat bagi melindungi kuasa membeli mereka dan menangani inflasi," tegas beliau.

Kerajaan Kelantan bercadang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Mohamed Nor Yakcop dalam tempoh terdekat bagi membincangkan penggunaan dinar dan dirham ini.

Pertemuan tersebut akan diatur selepas kertas cadangan mengenainya disiapkan. Kerajaan Kelantan bercadang melaksanakan penggunaan dinar dan dirham dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.