Beberapa pihak yang dipercayai terbabit dengan ajaran sesat telah menggunakan pendekatan baru untuk menyebarkan ajaran mereka dengan mencetak buku-buku dan mengedarkannya secara percuma ke seluruh negara.

Sehubungan itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan supaya bertindak segera untuk menyekat pengedaran buku seumpama itu yang boleh mengelirukan akidah umat Islam.

Baru-baru ini, dua buah buku seumpama itu yang bertajuk Tiang Agama dan Ahlul Sunnah dan Shiah sebenarnya Kristian, yang tidak disebut nama penulisnya, telah diedarkan secara meluas ke masjid dan institusi-institusi Islam di negara ini.

Pengerusi Abim Outreach School, Izazuddin Ahmad berkata, kedua-dua buku itu mempertikaikan perkara-perkara asas dalam ajaran Islam serta kedudukan Nabi Muhamad SAW.

Sebagai contohnya, kata beliau, buku itu mendakwa umat Islam tidak perlu menyebut: 'Nabi Muhamad SAW adalah Pesuruh Allah' kerana ia dikatakan syirik kerana menyamakan kedudukan Muhammad dengan Allah.

Perlu tindakan lanjut

Izazuddin berkata, perkara itu telahpun dibawa kepada pengetahuan Abim dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) untuk mengambil tindakan lanjut.

"Abim memandang serius perbuatan ini. Pengedaran buku-buku yang mengandungi fakta salah mengenai ajaran sebenar Islam boleh mengelirukan umat Islam yang tidak kuat akidahnya," tegasnya.

Berikutan itu, katanya, Abim dengan kerjasama beberapa pihak, termasuk Kedutaan Arab Saudi di Malaysia baru-baru ini menganjurkan sebuah seminar mengenai ajaran sesat di Malaysia, yang dihadiri oleh kira-kira 600 peserta.

Menurut Izzudin, seminar itu telah menghasilkan usul-usul yang akan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk membantu membanteras penyebaran buku-buku berkenaan dan ajaran sesat di negara ini.