Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melabur sejumlah RM16 bilion dalam 15 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein berkata, mereka adalah syarikat besar yang menjanjikan pulangan yang tinggi kepada pencarum KWSP.

"Pulangan kepada pencarum adalah salah satu kriteria yang dipertimbangkan oleh KWSP sebelum membuat keputusan pelaburan, itulah sebabnya KWSP hanya melabur dalam beberapa GLC sahaja," katanya ketika menjawab soalan Senator Omar Faudzar di Dewan Negara hari ini.

Bernama memetik Awang Adek sebagai berkata, KWSP juga menyediakan pinjaman bernilai RM5.2 bilion kepada antara 15 GLC berkenaan.

Jumlah pelabuaran dan pinjaman tersebut hanya merupakan lapan peratus daripada jumlah aset KWSP sebanyak RM264 bilion.

Menjawab soalan Senator Dr Norraesah Mohamad, beliau berkata, pada masa ini, KWSP memiliki kurang daripada 45 peratus dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dalam bentuk bon.

"Sebelum ini, pegangan KWSP dalam MGS berjumlah kira-kira 75 peratus. Pegangan KWSP dalam MGS semakin berkurangan berikutan pengeluaran bon kecilan oleh kerajaan di pasaran terbuka.

"Selain itu, KWSP juga perlu melabur dalam instrumen lain termasuk saham untuk memperolehi pulangan yang lebih tinggi kepada para pencarum," tambahnya.

Rizab bekalan TNB

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengurangkan separuh rizab bekalan elektrik adalah bagi memastikan TNB di landasan kewangan yang kukuh.

Katanya, kedudukan syarikat utiliti nasional itu juga perlulah dilihat secara menyeluruh termasuk kaitannya dengan kedudukan dan kontrak antara TNB dan Penjana Tenaga Bebas (IPP).

"Perkara ini ada kaitan dengan kedudukan IPP juga, margin rizab yang tinggi ini, sebab itulah kita mesti melihat keseluruhannya termasuk juga apa jua kontrak antara TNB dan IPP," katanya kepada di Pekan hari ini.

Sebelum itu, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan, mengiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke Pejabat Daerah Pekan sempena program lawatan rasmi Tengku Mahkota ke daerah itu hari ini.

"TNB mempunyai margin rizab pada tahap 40 peratus selama ini dan ini bererti bahawa sebahagian daripada kewangan TNB sememangnya terikat dalam menjamin margin rizabnya yang tinggi.

"Namun demikian kedudukan TNB mesti dilihat secara menyeluruh untuk menjamin TNB berada di atas landasan kewangan yang lebih mampan dan lebih kukuh lagi," katanya.

Ditanya sama ada arahan mengurangkan rizab itu memungkinkan tarif elektrik dapat dikekalkan, Najib berkata: "Saya tak dapat buat apa apa jaminan, perkara ini masih dalam timbangan kabinet, kita kena tunggu apa keputusan kabinet, sebab itu saya nyatakan tadi, masalah TNB dilihat secara menyeluruh, termasuk juga kedudukan tarif yang hendak dikenakan nanti," kata Najib.