Syarikat minyak negara, Petronas mempunyai rezab antarabangsa sebanyak enam bilion tong minyak hasil usaha berterusannya menjelajah ke seluruh dunia bagi mencari gali telaga minyak baru, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, bekalan yang banyak itu adalah untuk kegunaan generasi akan datang dan sebagai usaha membantu kerajaan dalam keadaan harga pasaran minyak dunia yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penerangan isu-isu semasa kenaikan harga minyak dan Undang-Undang Keluarga Islam Wanita Umno Bahagian Cheras malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, rakyat digalakkan mengubah cara hidup dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah walaupun Malaysia memberi jaminan harga runcit minyak tidak akan dinaikkan lagi tahun ini, walaupun harga minyak dunia terus meningkat.

Menurut laporan Bernama, Ahmad Shabery berkata, Petronas telah menjelajah ke seluruh dunia termasuk Sudan dan terkini syarikat tersebut dijemput menjalankan usaha carigali minyak di luar pesisir Jamaica.

"Keuntungan yang diperolehi Petronas digunakan kembali untuk dimanfaatkan kepada negara, iaitu dengan menjelajah ke seluruh dunia mencari minyak untuk kegunaan rakyat negara ini di masa akan datang." katanya.