Seorang orang kuat Kelab Senator Malaysia mengalu-alukan tindakan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menarik balik cadangan untuk melantik semula Datuk Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi kelab berkenaan.

Setiausaha Kelab Senator, Datuk Syed Ali Al Habshee berkata, pemimpin boleh datang dan pergi tetapi perjuangan BBC perlu diteruskan untuk parti dan negara.

"Jika tidak ada Shahrir sekalipun BBC masih mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh mengisi kekosongan tersebut," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras, Kuala Lumpur.

Shahrir pada Jumaat lalu meletak jawatan sebagai Pengerusi BBC kerana kecewa dengan sikap ahli parlimen Barisan Nasional (BN) tidak bersamanya dalam menyokong usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang mahukan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Pemilihan Parlimen kerana mencampuri urusan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Mohd Said dilaporkan telah meminta KDRM supaya tidak menyita kayu balak bergergaji milik seorang usahawan di Sungai Rambai, Melaka.

Syed Ali menambah, tindakan BBC akur dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menghormati keputusan Shahrir meletakkan jawatan adalah suatu yang wajar kerana ahli Parlimen Johor Bahru itu bertindak bertentangan dengan peraturan parti.

Beliau berkata, penyokong kerajaan dalam apa keadaan sekalipun tidak dibenarkan menyokong usul pembangkang.

'Tukar minda'

"Shahrir cuba menukar minda ahli kelab itu ketika menyokong usul pembangkang di Dewan Rakyat itu. Beliau tahu tindakan itu salah tetapi kerana beliau mahu menukar minda ahli kelabnya beliau melakukan juga."

"Ini cara beliau dan oleh kerana itu beliau perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya," kata Syed Ali lagi ketika dihubungi hari ini.

Semalam BBC memutuskan mahu melantik semula Shahrir setelah mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Sementara itu, Syed Ali berkata, jawatannya sebagai Senator telah disambung selama tiga tahun lagi sehingga 2008.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melanjutkan jawatannya dan berjanji akan melaksanakan tugas dengan baik untuk parti dan rakyat.

Syed Ali mula menjadi Senator pada tahun 2004 dan pernah menjadi Setiausaha Agung Umno Wilayah Persekutuan sebelum meletakkan jawatan selepas badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dirombak baru-baru ini.