Prof Datuk Dr Mohd Adnan Hamdan adalah antara empat pesuruhjaya yang tidak dilantik semula menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tiga lagi yang tidak dilantik semula ialah Datuk Syarifah Hafsah Syed Hassan Shahabuddin, Datuk Ranita Mohd Hussein dan Tan Sri Ramon V Navaratnam.

Mohd Adnan dikenali sebagai pesuruhjaya yang paling terbuka dan lantang bersuara sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat dengan Suhakam

Empat muka baru dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam untuk tempoh dua tahun sehingga April 2008.

Mereka ialah fellow UIA, Ustaz Muhammad 'Uthman El-Muhammady, Dr Denison Jayasooria dari Yayasan Strategik Sosial, peguam Datin Paduka Zaiton Othman, dan Datuk Dr Michael Yeoh (foto) dari Institut Strategi dan Kepimpinan Asia(Asli).

Manakala bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dikekalkan sebabai Pengerusi Suhakam untuk satu penggal lagi.

Perlantikan mereka diumumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Anggota Suhakam yang dikekalkan ialah Tan Sri Simon Sipaun, Prof Dr Chiam Heng Keng, Dr Mohamad Hirman Ritom Abdullah, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob; Datuk Asiah Abu Samad, Datuk Dr Raj Karim, Datuk Karam Chand Vohrah, Datuk Choo Siew Koh, Tunku Datuk Nazihah Tunku Mohamed Rus, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Datuk N. Siva Subramaniam and Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Reaksi Hamdan

Ketika dihubungi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kerana pihak kerajaan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat dengan Suhakam sejak tiga penggal yang lalu.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak media dan orang ramai yang telah membantu saya dalam menangani masalah hak asasi manusia yang kita hadapi.

"Saya juga memohon maaf daripada semua pihak yang mana kes (pelanggaran hak asasi manusia) yang tidak sempat saya bantu.

"Saya harap mereka yang baru dilantik atau dikekalkan dapat memberi perhatian kepada masalah mereka," kata Hamdan.