Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar menuduh media Thailand sengaja membangkitkan ketegangan dan salahfaham dalam hubungan Malaysia-Thailand apabila menyiarkan laporan kononnya terdapat 50 wanita Islam menjalani latihan ketenteraan di Kelantan.

Dari masa ke semasa, katanya, media Thailand menyiarkan mengeluarkan laporan seolah-olah Malaysia menjadi punca ketidakstabilan di Selatan Thailand, sedangkan dasar Malaysia ialah tidak campurtangan dalam urusan negara lain.

Bercakap selepas menghadiri satu majlis pejumpaan anjuran Umno Bahagian Kemaman semalam, Syed Hamid menyifatkannya sebagai tuduhan melulu dan sengaja mahu membangkitkan ketegangan dan salahfaham.

"Kita tidak menyokong mana-mana golongan pemisah, malah kita bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk memastikan bahawa keadaan keselamatan terpelihara dan terkawal," katanya.

Malah, katanya, Malaysia menghormati kedaulatan wilayah Thailand dan tidak pernah menyokong mana-mana golongan pemisah, apatah lagi untuk memberikan latihan ketenteraan kepada golongan tersebut.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berharap perbuatan membuat tuduan seperti itu tidak diulangi kerana ia boleh menggangu pemahaman serta pemerhatian negara lain terhadap Malaysia, di samping memberi kesan kepada hubungan baik Malaysia-Thailand.

Dalam laporannya Khamis lalu, akhbar Bangkok Post mendakwa 50 wanita dari Selatan Thailand sedang mengikuti latihan ketenteraan seperti membuat bom, latihan perisikan dan serangan selama sebulan di sebuah kem di Kelantan.

Sumber perisikan

Antara lain, laporan yang memetik sumber perisikan tentera negara itu menyebut, mereka mengikuti latihan tersebut bagi mengambil alih tugas pejuang lelaki yang ditahan pihak berkuasa negara itu.

Semalan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kurang senang dengan laporan tersebut yang disifatkannya tuduhan tidak berasas, tanpa bukti tentang kewujudan kem seumpama itu di negara ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang krisis program nuklear Iran, Syed Hamid berkata jika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenakan sekatan ke atas negara itu, ia akan merumitkan lagi keadaan dan menimbulkan ketegangan.

"Kalau Iran menggunakan nuklear untuk kegunaan tenaga ia tidak bertentangan, dan sebarang urusan berkaitan merupakan bidang kuasa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Tetapi jika tindakan sekatan diambil, ia tidak akan menimbulkan suasana perundingan dan bila tidak ada perundingan ia akan melahirkan ketegangan di kawasan itu," katanya.

Syed Hamid berkata, semua negara berhak menggunakan tenaga nuklear bagi kegunaan setempat asalkan tidak digunakan untuk mengeluarkan senjata pemusnah.