Netizen sukar terima maaf Camila Cabello
Bintang pop Cuba-AS, Camila Cabello memohon maaf selepas kenyataan berbaur perkauman sewaktu remaja, muncul semula dalam talian.
Kata penyanyi itu, dia benar-benar berasa amat malu disebabkan sikap keterlaluan yang pernah dipamerkan sebelum ini.
Dakwanya, pada ketika itu dia cuma seorang yang “tidak berpendidikan dan masih mentah.”
“Sewaktu masih muda, saya menggunakan bahasa yang menyebabkan saya sendiri malu dan menyesal selama-lamanya.
“Masa itu saya kurang pengetahuan dan bodoh tapi selepas mempelajari sejarah dan maksud di sebalik bahasa tidak sopan digunakan menyebabkan saya benar-benar malu.
“Saya sudah minta maaf (dulu) dan minta maaf sekali lagi sekarang,” katanya kepada 10.3 juta pengikutnya di Twitter semalam.
Semakan Malaysiakini setakat tengah hari ini, perkongsian itu menerima lebih 15,000 ribu ulang ciap, 100,000 ribu tanda suka dan hampir 20,000 ribu komen.
Camila, 22, yang terkenal selepas menyertai kumpulan Fifth Harmony pada 2012 dan kemudian bergerak secara solo pada 2016 - didakwa meluahkan kenyataan berbaur rasis dalam Tumblr.
Antaranya komen “niglet” yang dibuat kepada orang kulit hitam. Kenyataan itu bagaimanapun kini sudah dipadam.
Dalam permohonan maaf itu, penyanyi Senorita dan Havana berkata, dirinya kini semakin matang seiring usianya yang meningkat dan menyesal akibat komen yang dibuat.
“Saya seorang dewasa dan membesar serta banyak belajar selain kini maklum terhadap penderitaan orang lain yang tidak pernah saya rasai sebelum ini.
“Kesalahan terbabit tidak mewakili siapa diri saya sebagai individu atau tak pernah menjadi seperti itu.
“Saya hanya menegakkan kasih sayang dan hati saya tak pernah walau ketika itu mempunyai sekumit kebencian,” kata artis yang pernah menerima pencalonan anugerah Grammy itu.
Bagaimanapun, nasi ibarat sudah menjadi bubur. Meskipun sudah meminta maaf, segelintir pengguna alam maya hingga kini masih belum boleh melupakan perbuatan tersebut.
Antaranya pengguna akaun @microkosmus yang mempertikaikan usia seseorang tidak boleh dipersalahkan khususnya untuk gelaran perkauman tertentu yang biasa dirujuk kepada sesetengah bangsa.
“Kamu semua nak saya percaya yang dia berusia 16 tahun dan tak tahu apa maksud perkauman? Adakah dia juga tak tahu perkataan 'n' itu berbaur perkauman? Tolonglah,” ciapnya.

