Perang buku Umno-PAS bermula
Buku berkenaan akan dilancarkan pada 17 Oktober ini bertempat di kawasan Parlimen Sik yang diwakili Shahnon. Bagaimanapun, menurut Ibrahim, sejumlah 15,000 bukunya kini sedang diedarkan di seluruh negara.
Di kulit muka depan buku setebal 103 muka surat itu terpampang gambar babi, sepertimana dengan buku Anjing tulisan Shahnon yang turut meletakkan gambar anjing di kulit depannya.
Seperti juga buku Anjing, Ibrahim menggunakan watak binatang dalam bukunya untuk mengisahkan suasana politik semasa, dengan haiwan babi memegang watak utama.
Menurut Ibrahim beliau terdorong menulis buku ini selepas Shahnon menerbitkan buku keduanya bertajuk Anjing selepas buku Shit.
Beliau yang juga ketua Umno Pasir Mas, berkata buku kedua Shahnon itu turut memuatkan kisah seekor politikus kera yang sering melompat dari satu dahan ke satu dahan.
Bertukar parti
"Saya tidak tahu sama ada dia mengata saya atau tidak, tetapi memang gelaran ini telah dilemparkan kepada saya oleh banyak pemimpin pembangkang, kononnya saya ni tukar parti dari Berjaya ke Umno, dan bila Umno haram saya masuk Semangat 46 (S46), saya kembali ke Umno," tegasnya.
Ibrahim menjelaskan sewaktu Umno menjadi haram, dia berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kali kedua selepas dia ditahan sewaktu Operasi Lalang tahun 1987.
"Apabila saya dibebaskan, saya mahukan Umno asal. Jadi saya sertai S46 atas asas Umno juga. Selepas S46 dibubarkan, saya kembali kepada Umno, tetapi pada masa yang sama gelaran ini diberikan kepada saya, padahal berpuluh, malah beratus lagi ahli parti lain yang melompat parti," katanya.
Beliau mendakwa ramai lagi yang berbuat demikian seperti Kasim Ahmad (dari parti Sosialis kepada Umno), arwah Datuk Asri Muda (PAS ke Hamim dan menyertai Umno) dan Marina Yusof dari Umno ke S46, kemudian Umno dan akhirnya ke Keadilan.
"Dalam PAS sendiri apa kurangnya. Nik Aziz Nik Mat, setahu saya dulu secara tidak langsung juga dengan Umno. Di kalangan wakil rakyat PAS sendiripun ada yang dulu Umno masuk PAS. Tetapi jika orang Umno masuk PAS tidak dianggap sebagai katak," tegasnya.
"Bila saya mencari tajuk yang paling baik, saya terfikir nama'babi' kerana anjing itu setaraf dengan babi, dua jenis binatang yang haram di sisi agama Islam. Cuma anjingnya haram disentuh jika ia basah, berbeza dengan babi...," tegasnya.
Berjuang untuk Umno
Mengenai masa depan politiknya, Ibrahim berkata "nasibnya" tidak sebaik rakan-rakan seperjuanganya yang kini sama ada memegang jawatan tinggi parti atau dilantik menjadi menteri.
Bagaimanapun, beliau yang aktif dalam Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang menentang keras langkah Kerajaan PAS Kelantan meminta Perlembagaan Negeri berkaitan dengan kuasa raja baru-baru ini, berkata dia akan terus berjuang untuk parti selagi mampu berbuat demikian.

