Terjemahan Adakah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dengan mendedahkan surat-menyurat antara Malaysia dan Singapura berhubung projek jambatan bengkok yang telah dibatalkan itu?

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengajukan soalan tersebut kepada Menteri Luar, Datuk Sri Syed Hamid Albar di Dewan Rakyat hari ini.

Sambil merujuk kepada surat terbuka Dr Mahathir yang disiarkan oleh lamanweb pro-Umno, Lim mencadangkan supaya semua dokumen berkaitan rundingan tersebut diklafikasikan semula kepada "tidak rasmi'.

"Adakah tindakan akan diambil terhadap Tun Mahathir atau Wisma Putra akan mengklafikasikannya emula supaya orang ramai dapat tahu?...tangkap, dakwa dan penjarakannya (Mahathir)?" soalnya ketika penggulungan kementerian mengenai Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Syed Hamid tidak menjawab secara langsung, tetapi sebalik mengkritik Lim.

"Dari awal lagi, saya tahu anda ada niat tidak baik. Saya tidak fikir Tun Mahathir ada sebarang niat (seperti itu apabila membangkitkan isu tersebut). Ianya satu pendapat. Kita mempunyai perbezaan pendapat. Anda selalu menentang OSA, tetapi sekarang anda mahu menggunakan OSA...?"

Katanya, bekas Perdana Menteri itu telah membuat banyak sumbangan kepada negara dan oleh itu Parlimen tidak seharusnya menjadi pendapatnya itu sebagai satu isu.

"(Jangan) cuba menyerang seseorang yang bukan lagi menjadi ahli Parlimen dan mereka yang tidak dapat menjawab tuduhan anda di sini," katanya.

Tidak perlu pungutan suara

Sebelum itu, Syed Hamid berkata, beliau tidak mengambil tanggungjawab peribadi terhadap perkara tersebut kerana keputusan itu dibuat oleh pihak kerajaan dan bukan keputusan seorang individu.

Katanya, ini bukan keputusan peribadi mana-mana menteri kabinet, tetapi keputusan kerajaan.

Oleh itu, katanya, tidak timbul sama ada seseorang itu bertangungjawab terhadapnya ataupun tidak, sambil menambah, Singapura pun memahami dan menghormati keputusan Malaysia itu.

Syed Hamid juga menolak kemungkinan mengadakan pungutan suara untuk memutuskan sama ada projek tersebut perlu dilaksanakan atau sebaliknya.

"Tidak ada tradisi atau sistem mengadakan pungutan suara. Kita boleh laksanakannya melalui demokrasi Parlimen. (Kita) tidak perlu untuk mengadakan pungutan suara," katanya.

Cadangan mengadakan pungutan suara itu dibuat oleh Dr Mahathir, memandangkan kerajaan telah mengatakan bahawa keputusan membatalkan projek jambatan itu dibuat atas kehendak rakyat.

Syed Hamid mengulangi bahawa keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat Malaysia.

"Ini satu keputusan yang berani walaupun sukar. Ia adalah satu (keputusan) berani," katanya.

Minggu lalu, bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias Chang secara terbuka menggesa Syed Hamid supaya meletak jawatan kerana didakwanya, telah memberi nasihat yang salah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek tersebut. Berita asal