Pemuda Umno lesu kerana Anwar
Katanya, Anwar bertindak sedemikian bagi "membersihkan" parti itu, termasuk di peringkat Pemuda, daripada unsur-unsur penentangan dalam parti apabila dia mengambil alih pucuk pimpinan Umno dan kerajaan daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, Anwar mahu kepimpinan Pemuda Umno bergerak seiringan dengan badan induk parti kerana ketika itu tidak banyak isu kontroversi dalam masyarakat manakala proses pembangunan negara berjalan dengan elok.
"Malah pada zaman Anwar sendiri, setelah menjadi timbalan perdana menteri, saya nampak beliau tidak mahu ada unsur kritikal dalam parti. Anwar memupuk budaya Pemuda mestilah berhikmah, bukan berdemonstrasi dan berarak sana-sini. Pendekatannya ialah lebih kepada meja perundingan," kata beliau yang juga ketua Umno bahagian Pasir Mas.
"Pernah sewaktu saya menghadiri mesyuarat dengan pucuk pimpinan parti, setiapkali saya bercakap, Anwar akan menendang kaki saya memberi isyarat supaya jangan 'terlebih cakap'," katanya Ibrahim yang bekas exco pemuda Umno Malaysia, ketika mengulas keadaan Pemuda Umno yang kini kelihatan "lesu" dalam menangani isu-isu semasa sekarang.
Terperangkap
Menurutnya, tindakan Anwar amat bertentangan dengan lumrah bekas timbalan presiden Umno itu sendiri yang sebelum ini sentiasa lantang dalam menyuara pendapat terhadap Umno dan Kerajaan.
"Mungkin sudah menjadi lumrah manusia, sebelum mendapat pangkat dan jawatan, mereka begitu lantang bersuara...tetapi selepas mendapat semua itu, sikap mereka juga telah berubah," katanya.
Menurutnya, apabila tercetus isu Anwar selepas dia dipecat dari parti dan kerajaan, bekas timbalan perdana menteri itu mengadakan demonstrasi menentang parti Umno, menyebabkan Pemuda Umno terperangkap di tengah-tengah.
Anwar telah dilucutkan jawatannya oleh Dr Mahathir pada bulan September 1998 dan kini menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan meliwat and penyalahgunaan kuasa.
"Lagi pula pemimpin Pemuda Umno yang ada bukan lahir pada zaman saya. Jadi isunya terlalu besar untuk mereka hadapi. Saya tidak hendak menyalahkan Pemuda sekarang kerana mereka sudah diolah dengan tarbiah yang bebeza dengan zaman dahulu," tambahnya.
Menurut Ibrahim, keadaan yang menjadikan mereka begitu dan beliau menegur pergerakan itu kerana mahu mengingatkan mereka supaya kembali kepada perjuangan asal kerana suasana sudah berubah.
"Teguran saya sewaktu perhimpunan agung parti baru-baru ini telah membuat Ketua Pemuda Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn, melenting sehingga dia menyifatkan saya sebagai 'kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih," tambahnya.
Katanya, beliau tidak kecil hati kerana "teguran saya ni tidak lebih daripada menegur orang yang sedang tidur".
"Jika saya kejut dengan cara yang lembut, lazimnya orang yang kuat tidur, akan lambut bangunan. Maka saya tegur dengan cara yang keras...," tegasnya.

