Rakyat Malaysia perlu bersedia membayar lebih bagi penggunaan tenaga elektrik di masa hadapan. Kemungkinan itu dibayangkan secara tidak langsung oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini.

Namun begitu, Dr Lim seperti biasa enggan memberitahu bilakah kenaikan tarif itu kemungkinan diumumkan.

"Kami sekali lagi perlu menjelaskan kepada orang ramai mengapa kenaikan tarif begitu dinanti-nantikan oleh TNB, wajar dilaksanakan tetapi kami turut memberi jaminan, kumpulan berpendapatan rendah tidak akan terjejas," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Komputer PIKOM 2006 di bangunan KLCC di Kuala Lumpur hari ini, Dr Lim bagaimanapun berkata, TNB perlukan masa untuk menjelaskan kepada orang ramai berhubung masalah yang dihadapi oleh mereka.

Ditanya mengenai peratusan kenaikan itu, beliau berkata: "Mengenai peratusannya, kita kena lihat dan usahakannya."

Dr Lim ditanya mengenai prospek Tenaga Nasional Bhd (TNB) tanpa kenaikan tarif selepas melaporkan keputusan kewangan yang lebih baik semalam untuk tempoh suku kedua berakhir Februari 2006.

Menurut laporan Bernama, TNB, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan merupakan pengeluar kuasa terbesar di dalam negara, menguasai dua pertiga perniagaan penjanaan kuasa.

Kenaikan tarif

Pada masa ini, syarikat itu sedang melobi bagi mendapatkan harga kuasa yang lebih tinggi untuk menangani kos operasi yang kian meningkat.

Cadangannya bagi kenaikan tarif setakat ini belum mendapat sebarang kelulusan dan ia telah diminta untuk menyemak semula cadangan berkenaan.

Dr Lim berkata kementeriannya telah bersedia untuk membentangkan kadar yang telah disemak semula itu untuk kelulusan Kabinet tetapi ia terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan bakar.

"Saya telah bersedia untuk mengumumkan mengenai kenaikan tarif itu tetapi sebaik sahaja kenaikan harga bahan bakar diumumkan, saya rasa ia sudah terlalu berat untuk diterima oleh rakyat dan oleh sebab itulah, saya tangguhkan untuk seketika," tambahnya.

TNB perlukan tarif yang tinggi bagi menampung kos operasi yang tinggi memandangkan ia tidak mampu menjana tunai yang cukup daripada perniagaannya untuk berbuat demikian. Ia perlu meminjam bagi membiayai perbelanjaannya.

Syarikat itu turut mencari jalan untuk menaikkan jualan dan mengecilkan kos bagi mengurangkan hutangnya yang berjumlah RM30 bilion.

Kali terakhir TNB dibenarkan menaikkan kadarnya ialah pada tahun 1997 di mana tarif dinaikkan sebanyak 8.3 peratus.