Terjemahan Jalan Tun Sambanthan di Brickfields yang sentiasa sibuk dengan aktiviti perniagaannya, hari ini menyaksikan perarakan pengkebumian G Francis Udayappan yang diketuai oleh ibu mendiang, G Sara serta diiringi oleh ahli keluarganya dan sahabat handainya.

Mayat Francis dibawa dari Rumah Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya, selepas dua tahun disimpan di situ, sehinggalah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memutuskan identiti mayat tersebut Jumaat lalu.

Sebelum ini, Sara Lily mendakwa polis telah memukul anaknya yang berusia 24 tahun itu, dan mencampakkan mayatnya ke dalam Sungai Kelang pada bulan Mei 2004.

Polis bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut. Dia ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes samun telefon mudah alih dan memiliki motosikal curi.

Sara Lily juga mendakwa mayat tersebut adalah anaknya berdasarkan pada tato dan kerosakan pada giginya. Dan Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memutuskan tiada ada unsur-unsur jenayah dalam kes kematian Francis.

Selepas upacara ringkas dilakukan oleh Sara Lily di depan rumah mayat tersebut, konvoi kereta bergerak menujuk ke tempat kerja Francis di Brickfields di mana kira-kira 50 orang yang diketuai oleh para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah berkumpul.

Dibakar tengahari tadi

Selepas ucapan disampaikan dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Tamil dan Mandarin, mereka bergerak menuju ke balai polis daerah Brickfields tempat Francis ditahan pada 14 April 2004 sambil melaungkan slogan mengutuk ketidakadilan polis.

Selepas kira-kira 25 pegawai dan anggota polis di situ tidak membenarkan mereka masuk, Sara Lily kemudiannya melakukan upacara sembahyang di depan pintu pagar balai polis berkenaan, sambil memecahkan buah kelapa ke tanah sebagai tanda melepaskan marahnya.

Perarakan tersebut kemudian menuju ke Jalan Tun Sambathan. Mayat Francis dibakar tengahari tadi di tempat pembakaran Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Malaysiakini difahamkan seorang pegawai cawangan khas yang cuba merakamkan video upacara tersebut telah dihalau oleh ahli keluarga dan rakan keluarga Francis. Berita asal