Pengurusan stesen radio Era telah dipanggil oleh Kementerian Penerangan pagi ini untuk memberi penjelasan mengenai hebahan stesen radio itu malam tadi yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, telah mangkat.

Sumber dari stesen radio itu ketika dihubungi malaysiakini memberitahu bahawa pihak pengurusan stesen radio itu "sedang bermesyuarat" dan dijangka mengeluarkan kenyataannya berhubung perkara itu hari ini.

Malaysiakini turut difahamkan bahawa Pengurus Besar AMP, Borhanuddin Osman turut menghadiri mesyuarat tersebut.

Kementerian Penerangan hari ini dilaporkan akan menyiasat mengenai hebahan stesen radio itu yang mendakwa Yang di Pertuan Agong telah mangkat.

Kira-kira jam 8.45 malam tadi, stesen radio swasta itu dilapor telah mengumumkan berita yang mendakwa Seri Paduka Baginda telah mangkat. Pengumuman itu kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Bagaimanapun, stesen radio itu kemudian menarik semula pengumuman tersebut serta memohon maaf kepada para pendengarnya selepas menyedari kesilapannya.

Beristirehat di Singapura

Agensi berita Bernama melaporkan menerima panggilan telefon bertalu-talu daripada orang ramai yang mahu pengesahan mengenai berita itu.

Setiausaha akhbar Menteri Penerangan, Zukri Valentino pula dilaporkan berkata Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob hairan bagaimana hebahan seperti itu dibuat tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu.

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Yang di Pertuan Agong, Datuk Raja Hydar Raja Iskandar dilaporkan oleh akhbar-akhbar utama hari ini sebagai berkata baginda kini sedang beristirehat di Singapura selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di republik itu.

Dua hari lalu, malaysiakini melaporkan bahawa majlis penerimaan watikah perlantikan duta baru Amerika Syarikat ke Malaysia, Marie T Huhtala ditangguhkan kerana menunggu kepulangan Yang di-Pertuan Agong yang sedang menjalani rawatan di Singapura.

Menurut Raja Hydar, baginda berada di negara itu sejak 19 September lalu.