Terjemahan Pengerusi badan pemantau Pilihanraya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel), Abdul Malek Hussein kini berada di Sarawak untuk membuat persiapan terakhir bagi menghadapi pilihanraya negeri yang dijangka diadakan bulan depan.

Malek memberitahu malaysiakini, kedatangannya ke Kuching dan kemudian ke Sibu dan Miri, juga bertujuan untuk meninjau persediaan beberapa badan yang terbabit dalam proses pilihanraya, termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri dan parti-parti politik.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pegawai Suruhanjaya Pilihanraya negeri, Noordin Che Ngah pagi semalam dan telah dimaklumkan bahawa suruhanjaya itu sudah bersiap sedia untuk mengendalikan pilihanraya negeri.

Malek berkata, beliau juga diberitahu bahawa senarai pemilih terkini, telah diwartakan pada 31 Mac dan akan digunakan dalam pilihanraya negeri kali ini.

Spekulasi semakin kuat bahawa Yang di-Pertuan Negeri akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 5 Mei manakala hari pengundian pula akan diadakan pada 13 Mei.

Ramai sukarelawan

Menurut Malek lagi, beliau juga gembira dengan sambutan daripada para sukarelawan untuk menjadi pemerhati dalam pilihanraya negeri Sarawak kali ini.

Bagi tujuan pemantauan proses pilihanraya, Sarawak akan dibahagikan kepada tiga zon Kuching, Sibu dan Miri yang meliputi 71 kawasan pilihanraya negeri, bertambah sembilan kerusi daripada pilihanraya negeri 2001.

Para pemerhati tempatan juga akan dibantu oleh pemerhati dari beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, katanya.

Mafrel ditubuhkan sebagai sebuah badan pemantau pilihanraya pada 2003. Malek yang menjadi pengerusi dan pengarah eksekutif Mafrel, mempunyai 27 tahun pengalaman dalam kerja pemantauan pilihanraya di dalam dan luar negeri sejak 1978.

Malek memberitahu malaysiakini, Mafrel juga akan menyemak kesahan senarai pemilih bagi memastikan ia mengandungi pemilih berdaftar yang tulen. Terdapat kira-kira 900,000 pemilihan berdaftar di Sarawak yang mempunyai 2.2 juta penduduk.

Dalam laporan terbarunya, Mafrel menggesa SPR supaya menyertakan alamat penuh dalam senarai pemilih bagi memudahkan urusan pengesahan. Berita asal