Membunuh harapan
"Amerika adalah bagus.
Kami cuba lakukan yang terbaik di mana-mana."
- Madeleine Albright, 1999
"Pada mula saya menjadi presiden, saya berazam bahawa negara kita akan memasuki abad ke-21 masih sebagai negara terulung di dunia untuk keamanan dan kebebasan, untuk demokrasi dan keselamatan dan kemakmuran."
- William Clinton, 1996
Persoalannya, bagaimana Amerika Syarikat boleh melenakan dunia? Berikutan serangan ke atas World Trade Center, New York, Presiden George W Bush berkata: "Amerika diserang kerana kita adalah lampu penyuluh yang paling terang untuk kebebasan dan peluang untuk maju di dunia".
Dan katanya lagi, ini adalah peperangan untuk "demokrasi dan kebebasan". Hebat. Biasanya, orang yang bercakap begini kita kata dia tu "aksyen", "perasaan". Okaylah, Amerika memang hebatlah. Mungkin dia nak menandingi retorik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bila dia berkata negara Barat tidak suka kita kerana mereka cemburu dengan kejayaan kita.
Tetapi adakah Amerika Syarikat "lampu penyuluh" itu dan adakah Amerika diserang kerana penyerang-penyerang itu cemburu dengannya? Mari kita cuba jawab kedua-dua soalan ini dari sudut sejarah negara yang bernama Amerika Syarikat ini.
Sejarah ini adalah mengenai campur-tangannya dalam hal-ehwal negara lain. Dan sejarah ini panjang, walaupun negara ini cuma wujud semenjak kemerdekaannya pada tahun 1786.
William Blum di dalam bukunya, Killing Hope: US Military and CIA interventions since World War II (Common Courage Press, 1995), menceritakan dengan terperinci campurtangan AS di lebih 50 negara, antaranya China, Iran, Iraq, Indonesia, Filipina, Vietnam, Laos, Cambodia, El Salvador, Guatemala, Brazil, Cuba, Grenada, Chile, Honduras, Haiti, Guyana, Nicaragua, Angola, Zaire, Algeria, Morocco, Libya, Itali, Jerman, Perancis, Greece, Australia dan Afghanistan.
Kes pembunuham
Dan di dalam buku Rogue State: A guide to the world's only superpower (Common Courage Press, 2000), pula William Blum menyenaraikan 35 kes pembunuhan (atau percubaan bunuh) ke atas individu penting di negara asing oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS dari tahun 1949 hingga 1999.
Mereka termasuklah Chou En Lai, Sukarno, Kim Ill Sung (Korea Utara), Jawaharlal Nehru, Gamal Abdul Nasser, Norodom Sihanouk, Patrice Lumumba (Congo), Fidel dan Raul Castro, Che Guevara, Salvador Allende (Presiden Chile), Michael Manley (Presiden Jamaica), Muammar Ghadafi, Ayatollah Khomeini, Slobodan Milosevic, Saddam Hussein, Osama bin Laden, dan Sheikh Mohammed Hussein Fadlallah (Lebanon).
Seorang lagi yang mungkin tidak disangka termasuk dalam senarai adalah Charles de Gaulle, bekas presiden Perancis. Percubaan CIA membunuhnya dalam tahun 60an adalah kerana AS tidak bersetuju dengan de Gaulle yang mahu memberi kemerdekaan kepada Algeria, tanah jajahan Perancis. AS takut Algeria menjadi "komunis" dan kerana penentangannya terhadap penempatan tentera AS di Perancis serta peranan AS di dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Mengikut Blum, dari 1945 hingga 2000, AS cuba menggulingkan 40 kerajaan negara asing, mematahkan lebih daripada 30 pergerakan nasionalis-popular yang menentang regim pemerintahan yang zalim, membunuh beberapa juta manusia dan menyebabkan penderitaan jutaan manusia lagi.
Senarai campurtangan dan pembunuhan ini terlalu panjang. Kita ambil beberapa contoh sahaja di sini.
INDONESIA: Pada tahun 1957-58, AS cuba menjatuhkan Sukarno. Dia berpegang kepada prinsip berkecuali, dengan membuat lawatan ke Soviet Union, China dan juga AS. Dia juga mengambil alih harta kepunyaan Belanda. Ini tidak disenangi AS dan dianggap sebagai "kerja komunis". Cubaan CIA untuk memeras ugut Sukarno dengan suatu filem lucah yang direka CIA dan cubaan membunuhnya tidak berjaya.
Pada tahun 1965, AS telah membantu Jeneral Suharto untuk menggulingkan Presiden Sukarno. Kedutaan AS telah memberikan senarai 5,000 nama mereka yang dianggap "komunis" kepada askar Suharto.
Senarai ini digunakan untuk memburu dan membunuh mereka. Kedutaan akan memeriksa nama mereka yang telah dibunuh dan ditangkap, dengan senarai simpanan mereka. Kesemuanya, antara 500,000 hingga satu juta orang dipercayai terkorban.
Penulis terkenal, Pramoedya Ananta Toer adalah antara yang ditahan. Seorang lagi, Budiardjo, ditahan tetapi kemudian dibebaskan. Dia kemudian membawa diri ke London. Semasa saya di London, dia, saya dan Hishamudin Rais tinggal berdekatan dan menjadi kenalan baik.
Sekali sekala dia akan menceritakan pengalaman pahitnya. Bekas isterinya, Carmel Budiardjo yang juga ditahan, mengasaskan kumpulan Tapol (Tahanan Politik) di London.
TIMUR TIMUR: Pada tahun 1975, sehari selepas Presiden Ford dan Setiausaha Negara Henry Kissinger mengakhiri lawatan dan meninggalkan Indonesia, selepas bersetuju membenarkan Indonesia menggunakan senjata bekalan AS, republik itu menyerang Timur Timur.
Amnesty International menganggarkan, setakat 1989, seramai 200,000 atau satu pertiga daripada rakyat Timur Timur, terkorban. Dalam tahun 1995, seorang pegawai tinggi Presiden Clinton menyifatkan Suharto, "Dia adalah orang kita."
NICARAGUA: Pada tahun 1978 kumpulan Sandinista telah menggulingkan diktator kesayangan AS, Anastasio Somoza. Dia kemudian mencari perlindungan "di perkampungan bekas diktator", Miami, Florida, dengan bekalan AS$900 juta.
'Pejuang kebebasan'
Di bawah Presiden Ronald Reagan, AS telah memberi bantuan kewangan dan senjata (antaranya, melalui Colonel Oliver North yang terkenal kerana skandal "Irangate") kepada kumpulan Contra, yang kebanyakan anggotanya adalah bekas "pengawal kebangsaan" Somoza, untuk menggulingkan kerajaan Sandinista.
Mereka telah membakar sekolah dan klinik, merogol, membunuh dan menyeksa, serta mengebom, dan memasang periok api di pelabuhan-pelabuhan. Mereka ini dipanggil "pejuang kebebasan" oleh Reagan dan dia menyamakan mereka dengan "tokoh-tokoh pengasas Amerika Syarikat".
Pada tahun 1984, Nicaragua telah menyaman AS di Mahkamah Dunia di Hague kerana keganasan itu. Pada tahun 1986, mahkamah itu telah menjatuhkan hukuman ke atas AS kerana melanggar undang-undang antarabangsa dan memerintahkannya supaya memberhentikan keganasan dan membayar pampasan kepada Nicaragua dan rakyatnya.
Pentadbiran Reagan bagaimanapun telah mengisytiharkan bahawa mereka tidak mengiktiraf Mahkamah Dunia itu. Mereka meneruskan tindakan keganasan dan tidak mahu membayar pampasan.
Keganasan berterusan sehingga 1990 apabila parti lawan, Kesatuan Pembangkang Kebangsaan (UNO), dengan sokongan wang dan muslihat AS, memenangi pilihanraya. AS memberi amaran, jika rakyat Nicaragua masih mahukan Sandinista, mereka akan terus menerima serangan dan keganasan. Rakyat Nicaragua pun insaflah.
Organisasi pembangunan Oxfam menyatakan, dari pengalaman mereka bekerja di 76 negara membangun, Nicaragua di bawah kerajaan Sandinista menunjukkan "kesungguhan yang sangat tinggi untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan menggalakkan penglibatan mereka secara aktif dalam proses pembangunan".
Sepuluh tahun selepas menganuti "pasaran bebas" Nicaragua telah menjadi salah satu negara termiskin di Amerika Selatan.
KOREA: Peperangan Korea bermula pada 25 Jun 1950. Mengikut Fan Yew Teng dalam bukunya Killing Civilians From The Air (Cenpeace, 1994), AS telah megebom Korea, Utara dan Selatan, selama tiga tahun dan menyebabkan antara tiga hingga empat juta rakyat Korea terkorban.
AS menggunakan dengan meluas bom api napalm yang membakar manusia, kampung serta tanaman. Mereka juga mengebom beberapa empangan yang mengakibtkan bekalan elektrik terputus dan banjir besar yang menenggelamkan tanaman, terutamanya padi, dan mengorbankan sebilangan manusia yang tak terkira.
VIETNAM: Dalam peperangan Vietnam sejuta orang terkorban akibat pengunaan bom napalm. Untuk mengebom Vietnam Utara pula, Presiden Johnson telah membuat suatu penipuan kononnya Vietnam Utara telah menyerang kapal perangnya di Teluk Tonkin, pada Ogos 1964.
Peristiwa itu dikenali sebagai "Insiden Teluk Tonkin". Laporan "Pentagon Papers" Jabatan Pertahanan kemudian menyatakan sendiri bahawa cerita ini direka semata-mata untuk membolehkan AS menyerang Vietnam Utara.
Filem palsu
Suatu lagi pemalsuan adalah sebuah filem oleh tentera AS yang menunjukkan tentera Vietcong sedang membuat bahan bom napalm padahal tentera AS yang mengunakannya dengan meluas.
Menurut Profesor Howard Zinn, tujuh juta tan bom menghujani penduduk Vietnam, iaitu purata sebiji bom 500 tan untuk setiap penduduk.
CAMBODIA dan LAOS: Dari 1969 hingga 1970, AS turut mengebom Cambodia dengan "carpet bombing"nya menyebabkan ratusan ribu nyawa maut. Alang kepalang, AS turut mengebom Laos dengan 2 juta tan bom di antara tahun 1965 dan 1973. Alang kepalang, ratusan ribu nyawa juga maut.
Penggunaan racun tanaman Agent Orange menyebabkan kemusnahan tanaman dan hutan serta membawa berbagai penyakit kepada manusia. Kerosakan ekologi yang tak terkira telah dilakukan AS di Indochina.
Bahagian dua esok
ROSLI OMAR adalah seorang ahli akademik yang berminat dalam apsek keadilan samada didalam negara mahupun di arena antarabangsa.

