It is easier to dominate someone if they are unaware of being dominated. Colonised and colonisers both know that domination is not just based on physical supremacy. Control of hearts and minds follows military conquest. Which is why any empire that wants to last must capture the souls of its subjects: Ignacio Ramonet Le Monde Diplomatique May 2000

Tulisan ini bertujuan untuk melihat dan membongkar bagaimana daulah telah dapat mengukuhkan kuasa dan mengembangkan payung hegemoninya ke atas warga melalui perkataan, tanda dan makna. Tulisan ini berasaskan satu pengamatan yang sedang berlaku khususnya ke atas masyarakat Melayu di Malaysia.

Bunyi yang ditimbulkan dari kata, tidak ada sangkut paut dengan apa yang dimaknakan oleh bunyi itu. Bunyi M-e-j-a atau k-e-r-u-s-i tidak ada kena mengenakan dengan papan-papan yang disusun dan ditegakkan oleh empat batang tiang yang digunakan untuk meletakan buku atau makanan. Makna yang dibawa oleh bunyi dari perkataan m-e-j-a itu telah diterima secara kolektif dalam satu-satu kelompok. Bagaimana dan dari mana asal usul perkataan ini tidak penting. Ini bukan agenda yang ingin ditimbulkan.

Apa yang penting ialah bunyi-bunyi ini telah didengari melalui telinga. Bunyi-bunyi ini ditafsirkan untuk membawa makna yang secara kolektif telah dipersetujui bersama. Pada awalnya, perkataan muncul kerana keperluan pembuatan atau lahir dalam proses kehidupan asas. Manusia memerlukan nama untuk satu-satu perkara atau satu-satu benda. Manusia juga memerlukan tanda yang akan membawa makna untuk satu-satu kelompok. Kelompok akhirnya bersama-sama bersetuju untuk menerima bunyi dan tanda untuk membawa makna.
Apabila manusia mula bangun dan bergerak dan menggunakan tangan, maka dengan serta-merta proses ini telah memaksa manusia menggerakkan proses otak untuk berfikir. Pada awalnya perkataan-perkataan muncul secara demokratik di atas keperluan manusia untuk mencari kehidupan. Manusia bermula dengan memburu, mengutip dan mengumpul makanan, maka banyak perkataan yang bersangkutan dengan proses ekonomi bentuk ini muncul.

Tanda dan makna

Bila kelompok manusia beralih ke ekonomi yang berasaskan pertanian atau ke hutan atau ke laut, maka muncul pula perkataan yang bersangkutan dengan proses asas ekonomi bentuk ini. Apabila masyarakat besar berkembang, ianya mula bertahap dan berkelas-kelas, maka muncul pula perkataan-perkataan yang membawakan tanda dan makna proses perbezaan kelas-kelas ekonomi tersebut.

Proses penambahan kata, tanda dan makna berterusan mengikut arus dan gelombang asas ekonomi. Pembuatan dan perjuangan untuk mengisi hidup telah memaksa manusia berfikir dan melahirkan tamadun seperti apa yang kita alami hari ini. Proses evolusi tamadun manusia sedang terus berlaku.

Kita tidak perlu membuka kitab-kitab tebal untuk membuktikan proses evolusi pemikiran manusialah yang telah melahirkan perkataan-perkataan ini. Lihat sistem Internet yang baru sahaja dibebaskan dari dimonopoli oleh pihak tentera.

Pembebasan internet ini telah melahirkan ratusan perkataan, tanda dan makna baru yang kerap muncul di hadapan jendela komputer kita. Tanda dan makna baru ini muncul kerana kini, asas ekonomi telah beralih ke satu tahap yang baru ke ruang siber.

Evolusi manusia sekali lagi telah diasak oleh keperluan untuk berhubung dan berkomunikasi. Dengan selesa manusia telah mencipta perkataan-perkataan baru yang membawa tanda dan makna yang baru.
Pada asasnya perkataan, tanda dan makna muncul secara "innocent" kerana keperluan manusia untuk berhubung dan membina asas kehidupan.

Tetapi akhir-akhir ini, semakin jelas kuasa daulah telah mengambil peranan untuk mengkonstruk perkataan-perkataan untuk membawa makna dan tanda yang baru. Perkataan, tanda dan makna yang dimunculkan oleh daulah ini memiliki cita-cita untuk memperluaskan kuasa hegemoni daulah. Dalam masa yang sama melalui tanda dan makna yang ditakrifkan oleh daulah maka proses mengawal warga dapat dilakukan serentak.

Tidak adalah tempat yang paling baik untuk memperluaskan hegemoni dan cengkaman melainkan di kawasan berahi yang bersangkutan dengan keberahian jantina. Kuasa daulah mengetahui bahawa jika berahi seksual ini dapat di kawal maka bermakna individu itu akan dapat dipatahkan individualitinya.

Manusia dayus

Manusia yang paling dayus ialah manusia yang tidak mengiktiraf dan tidak berani berhadapan dengan keberahian seksualnya. Manusia yang gagal atau tidak berani berhadapan dengan berahi seksualnya adalah individu/manusia yang senang untuk dikawal. Ini kerana berahi seksual adalah berahi yang paling asas yang dimiliki oleh individu. Berahi ini juga adalah berahi rahsia yang tersimpan jauh dalam diri individu.

Berahi seksual inilah yang membina jati diri dan identiti individu. Jika berahi seksual individu yang amat sulit ini di definisikan, diterjemahkan atau diberi tanda dan makna oleh daulah, maka ini bermakna manusia ini telah hilang kuasa individunya. Individu seperti ini dengan amat senang dimasukkan ke bawah payung hegemoni daulah. Bertambah berat lagi kejadian ini apabila daulah bukan hanya memberi definisi, tanda dan makna kepada berahi individu tetapi kepada berahi seksual kelompok.

Di Malaysia, kuasa daulah menyedari bahawa warga yang perlu dikawal ialah manusia Melayu. Justeru hanya di kalangan Melayu sahaja terdapat penggunaan perkataan, tanda dan makna yang bertujuan untuk memperluaskan hegemoni daulah ini.

Hegemoni daulah ini selain dari mengawal, ianya juga bertujuan untuk membonsaikan fikrah. Individu atau kelompok yang telah didefinisikan berahi seksualitinya pasti tidak memiliki keupayaan fikrah yang tersusun. Kemungkinan untuk mengeluarkan pandangan/falsafah terbantut kerana akal fikiran telah bonsai kerana dipagari oleh hegemoni daulah.

Penggunaan berahi dan seksualiti untuk meruntuh/mengawal individualiti bukan sesuatu yang baru. Semenjak munculnya negara bangsa, alat dan jentera daulah telah bergerak untuk mendefinisikan seksualiti individu yang dianggap gagal untuk turut sama dalam agenda daulah. Alat utama ialah penjara.

Kajian demi kajian telah dibuat bagaimana penjara cuba dijadikan alat untuk memperbaiki tingkah/perangai seseorang. Atau lebih tepat lagi penjara adalah alat yang digunakan untuk meluntur individualiti seseorang dengan harapan ia dapat diserupakan dengan kumpulan lain yang dipersetujui atau diperkenan oleh daulah.

Penjara adalah contoh kasar di mana berahi seksualiti cuba dikawal dan diruntuhkan. Apa yang kita baca dan lihat di Abu Gharib adalah tanda dan makna bagaimana berahi seksualiti telah digunakan untuk meruntuhkan individualiti para pejuang pembebasan Iraq yang sedang ditahan.

Abu Gharib dan seksual

Membogelkan, memaksa hubungan jenis sesama lelaki, mengonanikan orang lain adalah taktik seni yang tersusun yang telah dilakukan bukan dengan sewenang-wenang tetapi melalui proses yang telah melalui kajian.

Mengikut strategi kuasa imperial ini; jika berahi seksualiti individu ini dapat diruntuhkan maka individu ini akan dapat dimiliki oleh daulah. Dalam kes Abu Gharib para tahanan ini akan beralih kiblat untuk menyokong kuasa imperial Anglo-Amerika.

Dalam kes kuasa hegemoni daulah di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia, ianya tidak kelihatan seganas apa yang sedang berlaku di Abu Gharib. Tindakan daulah di sini dilihat agak sopan dan teratur berbanding dengan Abu Gharib. Tetapi penggunaan berahi seksualiti memiliki tujuan yang sama untuk menundukkan individualiti, untuk mengawal dan mengekang individu.

Langkah pertama yang sedang dilakukan oleh daulah ialah mengaburi erti dan makna perkataanperkataan yang bersangkutan dengan berahi jantina. Hari ini jika kita membaca akhbar maka kita bertemu dengan perkataan umpamanya ereksi, sperma atau seks oral. Semua ini adalah perkataan-perkataan imigran. Bunyi, tanda dan makna untuk perkara-pekara ini ada tersimpan dalam khazanah perbendaharan kata-kata bahasa Melayu asli.

Adalah tidak masuk akal satu bahasa yang puluhan ribu tahun umurnya dan sedang digunakan oleh hampir 350 juta manusia tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk memberikan tanda dan makna kepada perkataan-perkataan imigran ini.

Apabila perkataan-perkataan ini dialihkan dari bahasa asalnya maka pembaca/warga akan kurang mengerti apakah makna tepat yang ingin dibawa/sampaikan oleh perkataan tersebut. Perkataan memiliki susur galur sejarah dan makna yang tepat. Pisau ertinya sesuatu alat dari besi yang kecil, tajam dan boleh melukakan. Pisau bukan kapak dan bukan parang. Apabila disebut p-i-s-a-u maka telinga yang mendengar akan mengerak otak untuk menggambarkan benda kecil tajam ini yang mungkin dianggap bahaya.

Media dan agama

Media dan agama di sini adalah dua alat yang digunakan untuk mengembangkan hegemoni daulah ke atas seksualiti individu. Melalui rancangan-rancangan soal jawab agama, media telah memasarkan pekara-perkara berahi seksualiti yang ingin diketahui umum.

Lantai agama telah digunakan secara sedar untuk mengkuduskan kerja media dalam soal jual-beli dan pemasaran berahi seksualiti. Tuan pemilik saham media menyedari bahawa berahi seksualiti memiliki pasaran yang amat luas.

Dengan berjubahkan soal jawab agama dan kesihatan, media dapat merapati berahi para pembaca. Jubah ini dipakai untuk tidak dilihat lucah. Justeru, soalan-soalan telah dikonstruk untuk membetung pemikiran pembaca. Proses pembetungan pemikiran melalui media ini adalah permulaan kuasa hegemoni daulah ke atas berahi seksualiti individu.

Pakar-pakar agama yang bersekongkol dengan daulah akan mengeluarkan pandangan dan pendapat yang tujuan asasnya ialah untuk mengawal berahi individu. Agama, seperti penjara, adalah jentera yang boleh memperluaskan hegemoni daulah. Berlandaskan kekudusan dan kesucian agama, pandangan-pandangan yang menundukkan berahi telah disebarkan seluas mungkin. Dalam proses kerjasama/perniagaan menjual agama dan menjual akhbar ini, kelihatan daulah seolah-olah tidak mengambil bahagian atau bersikap neutral.

Ini tidak benar. Di Malaysia ini tidak mungkin wujud akhbar, majalah atau stesen radio/televisyen tanpa mendapat lesen dari kuasa daulah. Malah akhir-akhir ini telah terjadi percantuman yang jelas di antara kepentingan daulah dengan kepentingan perniagaan media.
Mengalih perkataan Melayu dibuat dengan harapan akan lahir satu tanda dan makna yang baru. Perbuatan ini sering dilakukan oleh media. Sebagai contoh kita lihat bagaimana media telah menaburkan perkataan seperti "collateral damages", kempen udara, "regime change" dan "axis of evils".

Perkataan ini telah digunakan oleh kuasa imperial Anglo-Amerika ketika menyerang Iraq. Mengalihkan perkataan itu bertujuan untuk mendodoikan hati pembaca dan menjauhkan pembaca dari memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Membonsaikan fikrah

Kuasa daulah moden dalam bentuk negara bangsa hanya muncul di Malaysia ini hasil dari pertembungan wilayah kita ini dengan kuasa kolonial dari Eropah. Proses pengagamaan yang dialami oleh manusia Melayu di Malaysia ini tidak meninggi hingga ke tahap falsafah yang dibawa oleh ajaran agama itu sendiri. Ianya juga tidak sampai ke tahap spirituil esoterik yang menjadi anutan kaum sufi dan kaum zen. Daulah tidak akan membenarkan pemahaman falsafah agama yang berinduk kepada kebajikan orang ramai.

Jika falsafah agama yang berinduk kepada kesejahteraan ramai disedari oleh manusia Melayu, maka besar kemungkinan manusia Melayu akan mengalami proses pencerahan. Pencerahan ini pula tidak dapat tidak akan mengancam hegemoni daulah dan monopoli kuasa. Justeru, tahap pemahaman agama dikalangan manusia Melayu masih lagi pada tahap ritual yang paling asas. Tahap ritual yang membolehkan atau mengharamkan sesuatu. Pekara ini dibenarkan. Pekara yang itu dilarang.

Kuasa agama sedar bahawa cara yang terbaik untuk mengawal para pengikut ialah dengan mengawal keberahian seksualiti para penganutnya. Jika seksualiti penganut dapat dikawal maka dengan sendirinya individu itu dapat sama dikawal.

Akhir-akhir ini keinginan daulah untuk mengawal warga terutama manusia Melayu semakin rancak, kemas dan disusun. Melalui persekongkolan dengan ajaran agama yang kini hanya kuasa daulah sahaja yang memberikan definisi kelihatan hegemoni daulah tegak angkuh menyeluruh.

Hegemoni daulah kini telah memasuki satu lagi tahap di mana hanya daulah sahaja yang memonopoli tanda, makna dan perkataan yang bersangkutan dengan perkara-perkara yang sakral. Justeru, kita melihat bagaimana tanda dan makna dari perkataan seperti syurga, arwah, almarhum, wafat, kitab suci, tidak dibenarkan untuk digunakan oleh semua warga.

Jati diri seksualiti

Perkataan-perkataan ini ingin dimitoskan seolah-olah ia adalah suci dan sakral dan hanya dimiliki oleh kuasa daulah. Kerana itu di Malaysia ini, kita tidak terbaca hari sambutan Krismas sebagai hari Maulidur Rasul Nabi Isa walhal hari Krismas itu adalah hari sambutan kelahiran Nabi Isa. Tun Sambanthan bukan almarhum dan bukan juga arwah. Beliau juga tidak wafat tetapi meninggal dunia.

Penamat dari monopoli penggunaan kata, tanda dan makna ini, ialah tersebarnya kenyataan yang tidak rasmi bahawa di Malaysia hanya manusia Melayu sahaja yang kudus, suci dan sakral dan berpeluang masuk ke syurga. Ini kerana kuasa daulah telah membuat sosial konstruk tentang apakah perkara yang akan dipanggil Melayu itu. Mengikut definisi daulah , manusia Melayu itu ialah mereka yang menggunakan bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam.

Kuasa hegemoni daulah terhadap manusia Melayu ini semakin mendapat tentangan. Tidak mungkin ada satu kuasa yang dapat membendung berahi seksualiti. Ianya mungkin dapat di ikat untuk sementara waktu tetapi akhirnya ia akan meledak. Pemberontakan untuk membebaskan ruang berahi seksualiti sedang berlaku. Dorongan berahi seksual adalah tenaga yang paling ampuh dan dapat mengancam budaya hegemoni daulah.

Manifestasi dari perlawanan ini semakin jelas. Semakin ramai warga yang tidak ingin lagi tunduk kepada tafsiran daulah terhadap berahi seksualiti mereka. Semakin ramai warga mencari jalan bersendirian atau jalan berkelompok untuk memperkukuh jati diri seksualiti mereka.

Perlawanan dan pertentangan ini akan berterusan. Kuasa hegemoni daulah tidak akan membenarkan kata, tanda dan makna ini terlepas dari genggaman mereka. Pembebasan kata , tanda dan makna membawa erti yang besar terhadap kebebasan seksualiti dalam negara ini.

Kebebasan berahi seksualiti pula adalah kunci yang akan membawa retaknya hegemoni daulah yang selama ini menghalang kelahiran era pencerahan fikrah Melayu.


(Sedutan kertas kerja yang disampaikan untuk seminar SoLLs INTEC School of Languages and Linguistic International Conference UKM pada Isnin 21 November 2005)