Rasuah, sumber kewangan yang terhad dan saingan globalisasi merupakan ancaman utama kepada Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen minggu lalu.

Ketika menegaskan demikian, Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Rahman Othman berkata, selain itu campurtangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadikan RMK9 sukar dicapai.

Katanya, pada tahun 2010 pendapatan negara dianggarkan RM325 bilion tetapi defisit mencapai 34 peratus dan ini bukan ciri-ciri ke arah menjadi negara maju..

"Ramai yang tidak tahu bahawa RMK8 telah gagal dan dengan produktiviti negara sekitar 48 peratusm saya meramalkan RMK9 juga akan gagal," katanya dalam komentar mengenai RMK9 di Petaling Jaya malam tadi.

Program anjuran PKR itu diadakan sempena ulangtahun ketujuh parti tersebut. Ahli panel lain ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan perunding sebuah syarikat swasta, Aznir Mokhtar. Hadir sama ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalannya, Dr Syed Husin Ali dan beberapa pimpinan tinggi parti yang lain.

Jurang pendapatan

Abdul Rahman berkata, RMK9 juga mengulangi masalah yang dihadapi oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu kemiskinan, jurang pendapatan antara kaum dan pendapatan penduduk bandar dan luar bandar.

Katanya, peruntukan besar sebanyak RM200 bilion sepanjang lima tahun RMK9 akan memberi kesan kepada hutang negara dan defisit belanjawan.

Beliau berkata, keyakinan pelabur tempatan untuk terus menanam modal dalam negara adalah rendah dan mereka lebih suka mengalihkan pelaburan ke luar negara.

Kamaruddin pula berkata, RMK9 hanya mensasarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.7 peratus, lebih rendah daripada 9 peratus yang ditetapkan dalam Wawasan 2020.

"Pencapaian RMK8 hanya 4.5 peratus dan ia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020," katanya.

Beliau juga sangsi dengan penekanan kerajaan untuk membangunan wilayah kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

Bergantung pada kerajaan

Sementara itu, Aznir berkata, beliau tidak nampak RMK9 akan berjaya kerana kerajaan akan berdepan dengan krisis hutang negara yang besar, rasuah dan hutang tidak berbayar (NPL) yang banyak.

Katanya, peruntukan untuk sektor perkhidmatan sebanyak 60 peratus tidak menggambarkan ciri-ciri Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju.

"Jurang antara kaum semakin melebar kerana orang Melayu masih bergantung kepada kerajaan manakala bangsa lain semakin kukuh dalam pelbagai bidang," katanya.

Ketika sesi soal-jawab, Khalid Jaafar yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Malaysia mempunyai Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang terbaik di dunia, tetapi jurang pendapatan antara negara dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan semakin melebar.

Katanya, DEB yang menjadikan jurang itu besar dan pendapatan rakyat Singapura pada waktu ini lima kali ganda daripada rakyat Malaysia dan mungkin mencapai 10 kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.