Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetap dengan pendiriannya bahawa pembelian 57.57 peratus pegangan dalam syarikat pembuat motosikal Itali, MV Agusta Motors SpA, adalah satu keputusan pelaburan yang baik.

Katanya, penjualan pegangan syarikat berkenaan adalah disebabkan oleh kurangnya pengetahuan kejuruteraan di peringkat pengurusan.

"Mereka tidak memahami industri automotif. Jadi mereka fikir ia merupakan pelaburan yang tidak sesuai," katanya.

Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran kempen "15 Years of Soroptimism in Malaysia" anjuran Soroptimist International Region of Malaysia (SIROM) di Kuala Lumpur hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, syarikat motosikal itu mempunyai banyak pengetahuan kejuruteraan dan itulah sebabnya Honda, yang biasa mengeluarkan motosikal Honda Cup 50 cc, hari ini mempunyai kaitan dengan beberapa kereta terbaik di dunia.

"Adalah suatu yang mungkin bagi syarikat motosikal menyumbang ke arah pembangunan kereta. Disebabkan itulah Proton membeli Agusta, ia merupakan pelaburan dalam syarikat yang menghasilkan motosikal terbaik di dunia.," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, motosikal Agusta diiktirafkan sebagai motosikal terbaik di Eropah, yang menjadi bukti bahawa ia bukan tidak tahu langsung mengenai kejuruteraan.

'Proton syarikat kejuruteraan'

Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya mengenai kenyataan Lembaga Proton baru-baru ini bahawa M.V Agusta merupakan keputusan pelaburan yang tidak menguntungkan dan tidak mempunyai sebarang sinergi dengan pembuat kereta nasional.

Pada 2004, Proton melalui anak syarikat milik penuh Proton Capital Sdn Bhd memiliki 57.57 peratus pegangan dalam Agusta pada 70 juta Euro. Baru-baru ini ia menjual keseluruhan pegangan kepada GEVI SpA, syarikat tujuan khas bagi jumlah nominal sebanyak satu Euro.

"Proton ditubuhkan sebagai sebagai syarikat kejuruteraan, tetapi apabila anda membina kereta, kemudian anda mempelajari bagaimana mengeluarkan banyak perkara, seperti produk kejuruteraan. Dan itulah yang dilakukan oleh Proton dan saya rasa pengambilalihan Agusta, bagi saya, merupakan keputusan yang amat baik," kata beliau.

Keputusan untuk membeli Agusta tidak dibuat oleh lembaga atau oleh ketua pegawai eksekutif tetapi ia melalui proses yang rumit dengan dikaji oleh setiap orang termasuk Khazanah Nasional dan "mereka bersetuju bahawa kami sepatutnya membeli Agusta."

Sebaliknya, keputusan untuk menjualnya pada satu Euro, tidak mencerminkan pengurusan yang amat berpengetahuan, "anda kerugian wang dan Proton akan terus kerugian. Sebelum (ini) kita tidak pernah kerugian", kata Dr Mahathir, yang dikenali sebagai seorang yang suka berterus terang.

Beliau berkata kedudukan kewangan Proton ketika itu amat kukuh dan ia membina kompleks barunya dengan harga RM1.8 bilion tanpa meminjam sebarang wang daripada kerajaan atau bank dan apabila bekas ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff ditamatkan perkhidmatan, beliau meninggalkan wang tunai RM2 bilion.

Kapasiti keluar enjin

"(Kini) kami mahu tahu berapa banyak keuntungan yang diraih Proton?" soal Dr Mahathir.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Mohd Azlan Hashim dilaporkan sebagai berkata Agusta merupakan syarikat yang diuruskan oleh keluarga dan ia mengeluarkan produk khusus.

Mengenai teknologi, Azlan berkata Agusta sendiri mendapatkan sumber enjin 1,000 cc daripada Suzuki, Jepun, memandangkan ia tidak mempunyai kemampuan sedemikian.

Dalam hal ini, Dr Mahathir berkata: "Tetapi sama juga dengan Honda (milik keluarga). Tidak disangkal lagi yang Agusta mempunyai kapasiti untuk mereka bentuk enjin dan mengeluarkan enjin. Jika mereka mendapatkan apa-apa sahaja daripada pihak lain, ia berkaitan dengan skala ekonomi.

"Apabila ia besar, anda boleh mengeluarkan enjin anda sendiri. Mereka mempunyai kemampuan kejuruteraan. Saya sendiri telah melihatnya," kata Dr Mahathir.

Semasa ditanya sama ada lembaga Proton memaklumkan beliau mengenai alasan penjualan syarikat berkenaan memandangkan beliau merupakan penasihat, Dr Mahathir berkata: "Anda meminta nasihat sebelum anda membuat keputusan bukan selepas. Ini memaklumkan."