Kurikulum matapelajaran Tamil dan Mandarin yang akan diperkenalkan di sekolah kebangsaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tidak seharusnya membebankan pelajar, kata pakar bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Katanya, kurikulum tersebut tidak boleh terlalu berat sehingga membebankan pelajar dan menghilangkan minat mereka terhadap matapelajaran berkenaan.

"Kurikulum itu perlu disusun dengan baik supaya ia tidak sekadar menjadi pelajaran di sekolah semata-mata, sebaliknya ia mestilah boleh dimanfaatkan oleh pelajar sehingga ke akhir hayat mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas cadangan untuk memperkenalkan kedua-dua matapelajaran itu bertujuan untuk memperkasa sekolah kebangsaan dan menjadikannya sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara.

Sambil menyambut baik cadangan tersebut, Dr Nik Safiah berkata, langkah kerajaan itu akan dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat majmuk Malaysia.

"Elok diperkenalkan kerana rugi jika kita tidak mempelajari bahasa-bahasa yang digunakan sebilangan besar penduduk negara ini," katanya.

Bagi memelihara keaslian bahasa itu, beliau berkata, guru yang dipilih hendak terdiri daripada penutur asli daripada masyarakat itu sendiri.

'Mesti menarik'

Mengenai pendidikan sepanjang hayat, Dr Nik Safiah berkata, memandangkan ia untuk semua golongan masyarakat, kurikulum dan waktunya perlu disesuaikan dengan pelajar supaya mudah diikuti.

"Ia perlu disusun dengan teliti supaya menarik, mudah dan tidak membosankan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata, konsep mempelbagaikan semua bahasa dapat menarik pelajar semua kaum belajar di sekolah kebangsaan bagi menggalakkan perpaduan kaum.

"Dalam usaha memperkasakan sekolah kebangsaan, kita harus membestarikan sekolah itu. Ini akan meningkatkan kualiti pendidikan dan menarik lebih ramai ibu bapa menghantar anak ke sekolah kebangsaan," katanya.

Mengulas mengenai pendidikan sepanjang hayat, beliau berpendapat, tumpuan perlu diberikan untuk melatih individu terhadap keperluan teknikal.

"Dengan ini tenaga rakyat negara dapat dilatih semula bersesuaian dengan kehendak pasaran semasa," katanya.

Beliau berkata pembelajaran sepanjang hayat perlu dilaksanakan dengan serius kerana ia merupakan salah satu aspek penting dalam pembangunan modal insan.