TPM puashati kadar terbaru diskaun Proton, Perodua
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan penurunan harga terbaru Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang merupakan diskaun terakhir oleh kedua-dua syarikat kereta nasional itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan penurunan harga terbaru Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang merupakan diskaun terakhir oleh kedua-dua syarikat kereta nasional itu.
"Saya dah bincang dengan Menteri Kewangan Kedua (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) dan ia merupakan penurunan sepenuhnya oleh Proton dan Perodua. Kita telah membuat pengiraan dan berpuas hati dengan diskaun yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Timbang Tara Antarabangsa, di Kuala Lumpur hari ini.
Proton hari ini mengumumkan pakej istimewa bagi model terpilihnya yang membolehkan pelanggan menikmati penjimatan harga atas jalan antara lima peratus hingga tujuh peratus.
Perodua juga mengumumkan penurunan empat peratus harga kereta penumpangnya yang kini turut merangkumi model Kancil 600cc dan 850cc manual. Ini merupakan penurunan kali kedua bagi kedua-dua syarikat nasional itu.
Jumaat lalu, Proton mengumumkan penurunan harga antara 2.5 peratus hingga tujuh peratus bagi model terpilih manakala model Kancil 600cc dan 850cc telah dalam penurunan harga Perodua sebelum ini.
Menurut laporan Bernama, bagaimanapun, kadar penurunan harga itu tidak memuaskan hati kerajaan yang memberi mandat kepada Kementerian Kewangan untuk memantau harga kereta.
Dalam sidang media itu, Najib turut ditanya sama ada kerajaan akan meminta pengeluar kereta asing menurunkan harga mereka agar turut memberi faedah daripada pengumuman Dasar Automotif Nasional (DAN) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Penimbangtara
"Terpulang kepada mereka. Ini merupakan pasaran yang kompetitif. Saya percaya mereka akan mengkaji dan menimbang penurunan harga yang sewajarnya.
"Kalau Proton dan Perodua telah menurunkan harga, mereka pun terpaksa berbuat demikian," katanya.
Mengenai Persidangan Timbang Tara Antarabangsa itu, Najib berkata Malaysia merupakan tempat yang unggul bagi timbangtara berikutan sistem perundangannya yang kukuh dan bebas, infrastruktur baik, kepercayaan negara-negara Asia dan Islam yang lain dan kos murah.
"Dengan kelebihan ini, diharapkan Malaysia akan dapat menarik lebih banyak penimbang tara antarabangsa ke sini.
"Keadaan itu akan menghasilkan sumbangan penting terhadap pendapatannya, khususnya daripada sektor perkhidmatan, dan meningkatkan kewibawaannya sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelesaian pertikaian, yang pada tradisinya dimonopoli oleh bandar raya-bandar raya di Barat," katanya.
Najib berkata Malaysia telah memodenkan perundangan timbangtaranya dengan menguatkuasakan Akta Timbang Tara 2005.
Negara ini juga telah meratifikasi hampir semua perjanjian antarabangsa yang penting yang menjadikan undang-undang timbang tara Malaysia tidak asing dan difahami oleh peguam antarabangsa yang menasihatkan anak guam mereka mengenai tempat yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian mereka menerusi timbang tara.

