Bendera terbalik: 2 ditahan bantu siasatan
Polis menahan dua individu petang semalam bagi membantu siasatan kes bendera negeri Kedah dan Jalur Gemilang dipasang terbalik di premis mereka yang terletak di Jalan Pandak Mayah, di Langkawi, Kedah.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 5 petang selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat orang awam 11.42 pagi.
Mohd Iqbal berkata pengadu mendakwa dia ternampak kedua-dua bendera berkenaan dipasang secara terbalik di sebuah premis di Pekan Pandak Mayah.
“Siasatan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah kedai runcit serbaneka di suatu kawasan bangunan lot kedai dua tingkat yang telah beroperasi sejak 15 tahun lalu.
“Hasil siasatan ke atas dua individu yang ditahan iaitu pemilik premis seorang lelaki berusia 60 dan wanita berusia 50 tahun, mereka mengaku terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya ketika dihubungi di Langkawi semalam.
Mohd Iqbal berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama.
Beliau berkata suspek yang ditahan juga membuat satu laporan polis menyatakan bendera tersebut tersilap pasang.
“Suspek juga menyatakan kekesalan di atas kejadian tersebut. Ekoran daripada kejadian ini suspek telah membetulkan semula kedudukan kedua-dua bendera tersebut,” katanya.
- Bernama

