Kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga minyak belum reda. Ketika protes membantah kenaikan harga bahan petroleum rancak diadakan setiap hujung minggu, kerajaan mengumumkan Dasar Automotif Nasional (NAP).

Pengumuman dasar baru itu diikuti dengan tindakan mengurangkan duti import ke atas kereta siap pasang Asean (CBU) yang sekaligus menurunkan harga kereta di pasaran tempatan. Semua kereta yang dipasang dalam negeri atau di import dari negara-negara anggota AFTA kena akur dengan penurunan cukai itu.

Bagaimanapun pengumuman NAP itu tidak disambut dengan ghairah oleh rakyat. Lebih-lebih lagi apabila dua syarikat kereta nasional, Proton dan Produa mengumumkan penurunan harga yang kecil sehari selepas itu.

Sebenarnya penurunan duti import yang besar sehingga tinggal 5 peratus sahaja menyebabkan orang ramai mengharapkan harga kereta akan turun dengan banyaknya, terutamanya bagi kereta nasional kerana dasar baru itu kononnya mahu menjadikan kereta buatan Malaysia kompetitif.

Rakyat hampa apabila Proton hanya mengumumkan penurunan harga antara 2.5 hingga tujuh peratus sahaja manakala Produa menurunkan empat peratus sahaja. Harga model kedua-dua kereta nasional itu hanya turun RM300 hingga RM2,500 sebuah.

Penurunan ini sangat kecil berbanding dengan kadar penurunan duti import yang diberikan oleh kerajaan. Bukan sahaja rakyat tidak puas hati, malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut kecewa. Najib mahu lebih banyak penurunan diberikan supaya semua lapisan rakyat dapat menikmati faedahnya.

Sebahagian besar rakyat berpendapat, apalah guna diturunkan harga kereta sedangkan harga minyak melambung. Rakyat terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah lebih suka kalau harga minyak dikaji semula, kalaupun tidak mungkin diturunkan ke paras sebelum 28 Februari lalu.

Harga petrol membebankan

"Untuk apa beli kereta baru kalau sekadar dibuat perhiasan di depan rumah. Untuk menggunakan dan menikmati kereta baru, tangki perlu diisi petrol, sedangkan kos petrol terlalu membebankan sekarang ini ," kata seorang pesara kerajaan yang lebih selesa menggunakan Proton Wira yang dibelinya tujuh tahun lalu.

Menurutnya dalam keadaan kos hidup yang semakin tinggi sedangkan pendapatan tetap di takuk lama, maka lebih baik jangan membuat hutang baru. Penurunan harga yang kecil juga dilihat tidak lebih daripada satu gimik sahaja. Syarikat kereta masih mahu mengekalkan paras keuntungan yang besar, membolot sendiri faedah dasar baru itu sedangkan ia sepatutnya dikongsi dengan rakyat.

Apalah yang dapat dibuat dengan penjimatan RM300 dari sebuah Produa? Ia tidak memberi sebarang kesan pada jumlah bayaran ansuran yang perlu dibayar setiap bulan oleh pembeli.

Pembeli mahukan potongan harga yang lebih besar, terutamanya bagi kereta berharga dalam lingkungan RM30,000 hingga RM100,000 sebelum ini. Mereka yang melanggan kereta dalam kategori ini adalah dari kalangan berpendapatan sederhana dan rendah, yang terasa amat "tercekik" oleh kenaikan harga minyak.

Harga "kereta mampu dimilik" yang lebih rendah diperlukan bukan sahaja kerana kos petrol semakin tinggi, malahan kerana kadar faedah pinjaman juga sedang meningkat. Dalam tempoh terdekat ini, kos meminjam wang akan lebih mahal kerana kadar asas pinjaman berada dalam aliran meningkat sejak dari awal tahun lagi.

Zaman kadar faedah bagi pembiayaan membeli kereta baru 2.8 hingga 4.0 peratus akan berakhir tidak lama lagi. Sepatutnya selepas pengumuman penurunan duti import tempoh hari, kita akan menyaksikan perang harga kereta. Namun industri ini memberikan reaksi yang lambat. Secara umumnya (merangkumi semua jenama), harga kereta setakat ini hanya turun 2 hingga 11 peratus sahaja.

Harga kereta dalam negara ini ternyata masih terlalu tinggi jika dibandingkan dengan harga kereta di negara jiran. Sebuah Honda Civic yang dipasang di Thailand, boleh dibeli pada harga RM40,000 hingga RM50,000 di Bangkok, sedangkan harganya di sini sekali ganda lebih tinggi.

Perbandingan harga kereta

Sepatutnya kerajaan membandingkan harga kereta di Malaysia dengan harga kereta di Thailand dan Brunei untuk "mengarah" syarikat kereta tempatan menurunkan harga mereka, sebagaimana kerajaan membandingkan harga minyak di negara ini dengan harga minyak di negara anggota Asean ketika "menghalalkan" kenaikan harga minyak sebulan lalu.

Kalau kita berani mendakwa harga minyak kita adalah yang terendah di rantau ini, mengapa tidak ditegaskan kepada pembuat dan pengedar kereta di negara ini bahawa harga kereta kita adalah yang tertinggi di rantau ini?

Atau mungkin kerajaan perlu melakukan sesuatu yang lebih drastik iaitu mengkaji semula elemen cukai lain yang ada dalam komponen harga kereta? Mungkin penurunan duti import belum memadai untuk menjadikan harga kereta kita kompetitif. Tidakkah cukai-cukai lain seperti cukai jualan, cukai eksais dan sebagainya perlu dikaji semula diturunkan ke tahap yang lebih kompetitif.

Cukai jualan bagi kereta di negara ini dikatakan bukan sahaja tertinggi di Asean, malahan antara yang tertinggi di dunia. Itu sebabnya kereta Proton dijual pada harga yang berkali ganda lebih murah di United Kingdom, berbanding harga di negara kelahirannya, Malaysia!

Mungkin ini perlu diberi perhatian oleh Najib ketika melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap kadar penurunan harga kereta Ahad lalu. Selain menyalahkan syarikat-syarikat pengimport, pengedar dan pembuat kereta, kerajaan juga perlu lebih telus dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan harga kereta negara ini lebih berdayasaing.

Mungkin kalau semua struktur cukai di dalam harga kereta disusun semula iaitu diturunkan, barulah kos sebuah kereta baru di negara ini akan berada di paras yang menarik dan kompetitif.

Selagi pelbagai cukai yang menjerut leher masih berada dalam harga kereta tempatan, selagi itu rakyat negara ini akan menjadi korban kerajaan dan industri.