Badan-badan bukan kerajaan akan mengadakan perhimpunan aman Sabtu ini untuk menuntut kerajaan Amerika Syarikat menarik balik perisytiharan perang di Afghanistan.

Kumpulan itu, yang dikenali 'Gerakan Keamanan Rakyat' (GKR), akan membacakan perisytiharan, antara lain mengutuk tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap mereka yang disyaki terlibat dalam serangan di New York dan Washington, dan negara yang dituduh melindungi mereka.

"Peperangan bukan sahaja memecahbelahkan kesatuan pelbagai kumpulan di sesebuah negara, malah ia dapat mencetuskan permusuhan dan prasangka kaum yang berasaskan sentimen membenci warga asing dan fahaman politik perkauman sempit," kata GKR dalam perisytiharan itu.

Perhimpunan itu dijadualkan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 1 petang.

'Perisytiharan Keamanan dan Kedamaian Rakyat Malaysia' turut menyampaikan rasa prihatin dan kesedihan kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dan rakyat Amerika.

"Kami menyifatkan serangan itu suatu tindakan jenayah kemanusiaan yang sangat kejam dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan itu," perisytiharan itu dipetik. Satu salinannya diserahkan kepada malaysiakini hari ini.

Selain itu, GKR menyeru penubuhan suruhanjaya bebas dan telus di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat serangan pada 11 September.

Dalam kejadian itu, tiga kapal terbang awam digunakan untuk merempuh Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon di Washington sehingga mengorbankan kira-kira 7,000 orang. Amerika Syarikat menuduh kumpulan Osama bin Laden sebagai dalang utama yang disyaki terbabit dalam serangan itu, sementara kerajaan Taliban di Afghanistan didakwa melindungi jutawan Arab Saudi itu.

GKR hari ini juga menyeru pengganas yang terlibat dalam serangan itu didakwa di mahkamah antarabangsa di The Hague, Belanda dengan bukti kukuh dan perbicaraan yang saksama.

Kumpulan itu, dalam perisytiharan itu, menegaskan tiada sebarang alasan kukuh untuk menghalalkan tindakan kekerasan Amerika Syarikat terhadap mereka yang disyaki.

"Tumpuan harus diberikan kepada usaha menjalankan siasatan secara telus dan saksama untuk membawa orang yang bertanggungjawab dan diadili secara terbuka di mahkamah antarabangsa," kata GKR.

Ia juga menegaskan tindakan secara kekerasan Amerika itu nanti tidak dapat menyelesaikan masalah secara menyeluruh. "Sebaliknya ia pasti akan mengundang tindakan balasan yang keras."