Terjemahan Saman RM83 juta yang difailkan oleh sekumpulan aktivis hak asasi manusia Malaysia kerana ditahan secara tidak sah sewaktu persidangan antarabangsa kedua mengenai Timur-Timur (Apcet 11), akan mula didengar Isnin ini.

Mengikut salah seorang peguam yang mewakili aktivis tersebut, M Moganambal, Mahkamah Tinggi telah menetapkan kes tersebut didengar selama seminggu oleh Hakim Datuk Wan Adnan @ Addinan Muhamad.

Kes tersebut telah ditangguhkan Julai lalu selepas mahkamah mengarahkan supaya kenyataan para saksi, diserahkan kepada semua pihak terbabit, sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perbicaraan bermula.

Tujuh tahun lalu, 36 aktivis hak asasi memfailkan saman terhadap kerajaan, Ketua Polis Negeri Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan dua pegawai kanan polis Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Ismail Che Rose dan Ketua Balai Polis Dang Zainal Abidin Ali kerana didakwa cuai dan melakukan penahanan secara tidak sah.

Antara aktivis terbabit ialah Presiden MTUC sekarang, Syed Shahir Syed Mohammad; Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR Dr Sanusi Osman dan R Sivarasa, Ketua Penerangan PKR Tian Chua dan Pengetua New Era College dan bekas ahli Parlimen Dr Kua Kia Soong.

Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran, yang ketika itu bertugas sebagai wartawan akhbar The Sun, juga antara aktivis terbabit.

Lebih 100 ditahan

Lebih 100 orang termasuk 10 wartawan ditahan pada hari pembukaan Persidangan Kedua Asia Pasifik mengenai Timur-Timur pada 9 November 1996. Persidangan itu diadakan untuk membincangkan pelanggaran hak asasi manusia di Timur-Timur dan perjuangannya ketika itu untuk merdeka daripada Indonesia.

Ketika persidangan itu hendak dimulakan, 400 anggota Barisan Bertindak Rakyat Malaysia (BBRM) yang diterajui Pemuda Umno menyerbu ke dewan persidangan, dengan memecah pintu masuk dan mengancam para peserta yang hadir.

Pihak polis kemudiannya tiba di tempat kejadian dan menangkap para peserta dan menahan mereka di lokap selama satu hingga enam hari. Manakala 40 peserta asing telah dihantar pulang.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, para plantif berkata, pihak polis telah gagal bertindak segera untuk membendung keganasan yang dicetuskan oleh anggota BBRM dan oleh itu, didakwa cuai dalam memastikan keselamatan plantif.

Mereka menuntut gantirugi kerana didakwa menerima layanan buruk daripada pihak berkuasa sewaktu ditangkap dan ketika berada dalam tahanan.

Di samping itu, tiada sebarang tuduhan dibuat terhadeap mereka yang ditangkap. Bagaimanapun, empat pemimpin Pemua Umno, termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kemudiannya ditahan dan didakwa di mahkamah kerana mencetus rusuhan. Mereka mengaku bersalah dan masing-masing RM1,500.

Manakala pihak kerajaan, dalam dalam kenyataan balasnya, mendakwa tangkapan tersebut dilakukan dengan niat baik bagi memelihara ketenteraman awam selepas para peserta tidak menghiraukan arahan polis supaya bersurai.

Pihak polis pula mendakwa, mereka mematuhi semua prosedur kanun jenayah dan peraturan lokap ketika melakukan tangkapan dan penahanan plantif. Berita asal