Gantung jawatan: Keputusan MT Umno dianggap tidak adil
Beberapa orang pemimpin Umno menyifatkan sebagai tidak adil keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak membenarkan ketua bahagian yang digantung jawatan dan keahilannya menyandang semula jawatan selepas tamat tempoh penggantungan mereka.
Beberapa orang pemimpin Umno menyifatkan sebagai tidak adil keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak membenarkan ketua bahagian yang digantung jawatan dan keahilannya menyandang semula jawatan selepas tamat tempoh penggantungan mereka.
Bekas Ketua Umno Bahagian Kota Melaka, Datuk Amid Nordin yang turut digantung daripada jawatan tersebut, berkata keputusan MT itu bercanggah dengan peraturan Panel Rayuan Umno.
Beliau berkata, peraturan Panel Rayuan menyebut bahawa Ketua Umno bahagian yang tamat penggantungan, hendaklah dikembalikan semula jawatan mereka tanpa syarat.
"Ini bermakna MT perlu memberi semula jawatan kepada mereka yang terbabit. Seperti banduan, mereka akan dibebaskan apabila hukuman berakhir," katanya yang digantung selama sepenggal atau tiga tahun, kerana didapati terbabit dengan politik wang pada pemilihan 2004.
Beliau berkata, keputusan MT tidak membenarkan mereka mendapatkan semula jawatan selepas tamat tempoh penggantungan itu, bermakna hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang terbabit dengan politik wang, terus berkuatkuasa dan tidak memberi sebarang makna.
"Apa ertinya hukuman lapan bulan, 12 bulan atau sepenggal yang dikenakan tetapi apabila sudah habis tempoh hukuman, tidak diberikan jawatan semula," katanya yang juga merupakan bekas Exco kerajaan negeri Melaka.
Amid berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno Isnin lalu bahawa Ketua Bahagian Umno yang tamat tempoh penggantungan, tidak dibenarkan memegang jawatan lama dan dikehendaki bertanding semua dalam pemilihan akan datang.
'Keputusan MT berubah-ubah'
Sementara itu, bekas Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh berkata, keputusan MT Umno sentiasa berubah-ubah dan ini menyusahkan penyandang jawatan dalam parti.
Katanya, perkara ini tidak pernah berlaku semasa kepimpinan diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di mana MT ketika itu menerimapakai perlembagaan Umno sedia ada.
"Sekali begitu, sekali begini. Tidak konsisten dan ini menyusahkan. Saya mahu ia kembali kepada perlembagaan asal," katanya.
Beliau berkata, keputusan MT itu adalah tidak adil kepada penyandang jawatan yang telah tamat tempoh hukuman.
"Apa gunanya Panel Rayuan Umno mengurangkan tempoh hukuman penggantungan sedangkan mereka tidak dibenarkan mendapatkan semula jawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Amil digantung jawatan selama empat tahun oleh Lembaga Disiplin Umno atas dua tuduhan terbabit dengan politik wang dalam pemilihan parti tahun 2004.
Beliau berkata, jika MT kekal dengan arahan tersebut ini bermakna mereka yang membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman penggantung hanya membuang masa dan sia-sia.

