Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mengulangi sokongannya terhadap Naib Presiden, Datuk G. Palanivel untuk bertanding mencabar jawatn Timbalan Presiden yang akan dipertahankan oleh Datuk S Subramaniam.

Dalam mesyuarat tertutup petang semalam, Samy Vellu menolak spekulasi bahawa beliau akan mengubah keputusannya untuk menyokong Palanivel bagi bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti Jun ini.

Spekulasi bertiup kencang selepas media menyiarkan gambar presiden parti itu menjamu minuman kopi kepada timbalannya itu sewaktu sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 11 Februari lalu.

Subramaniam, 62, yang menjadi timbalan Samy Vellu sejak 1980, bagaimanapun tidak dijemput menghadiri mesyuarat semalam, kata seorang pemimpin kebangsaan MIC yang menghadiri mesyuarat itu kepada Bernama.

Akhir tahun lalu, Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya, secara terbuka menyatakan beliau lebih suka Palanivel, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menjadi timbalannya selepas pemilihan parti kali ini.

Sokong Veera dan Sothinathan

Palanivel, bekas wartawan dan kemudian menjadi ahli politik, merupakan bekas setiausaha akhbar Samy Vellu dan telah dipersiapkan untuk mengambil alih parti selepas persaraan presiden itu.

Dalam mesyuarat itu juga, Samy Vellu menyuarakan sokongannya terhadap penyandang jawatan Naib Presiden Datuk S Veerasingam dan Setiausaha Agung Datuk S. Sothinathan untuk mengisi dua daripada tiga jawatan naib presiden.

"Dia (Samy Vellu) tidak menyatakan siapa bakal naib presiden ketiga...ia mungkin pergi kepada sesiapa sahaja," kata pemimpin tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. Penyandang Naib Presiden sekarang ialah Palanivel, Veerasingam dan Tan Sri K S Nijar.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tenggaroh, Johor, Datuk S Krishnasamy, mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden manakala ketua MIC Kuala Lumpur Datuk V.K.K. Teagarajan turut disebut-sebut berminat bertanding jawatan tersebut.

Samy Vellu dijangka mengeluarkan "senarai pilihan presiden" selepas pemilihan bahagian pada akhir bulan depan.