Di mana kedudukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) di kacamata rakyat sekarang, khususnya orang Melayu? Nun...di sudut sana, semakin jauh.

Ada dua sebab utama menyebabkan wajah Pak Lah semakin jauh dari mata mereka...dari sudut hati mereka. Pertama cara Perdana Menteri, merangkap Presiden Umno ini, menangani kes penghinaan Nabi Muhammad SAW oleh akhbar New Straits Times (NST). Dan kedua, tindakan menaikkan secara mendadak harga bahan petroleum 30 sen seliter.

Ketika keputusan Pak Lah masih dipersoalkan selepas beliau "memaafkan" NST sedangkan tiga akhbar lain dikenakan tindakan yang lebih keras, muncul pula isu kenaikan harga petrol dan diesel yang mengejutkan rakyat.

Kedua-dua isu ini menyentuh minda dan poket rakyat secara langsung dan menyeluruh. Tiada siapa yang terlepas daripada mereka yang kaya hingga kepada yang miskin dan mereka yang terpelajar hinggalah orang kampung yang sekadar sekolah atap. Semuanya mengeluh kali ini!

Isu karikatur yang menghina Nabi Muhammad menguji ketegasan Pak Lah. Apabila beliau melepaskan NST atas alasan akhbar itu sudah memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat, rakyat terkejut.

Setelah melihat apa yang berlaku pada Sarawak Tribune dan Guangming Daily, (ketika itu akhbar berbahasa Cina Berita Petang belum dikenakan tindakan) ramai menjangka NST juga akan dikenakan tindakan yang sama, kalau tidak digantung permitnya, sekurang-kurang ada seorang dua pengarangnya akan diminta meletakkan jawatan.

Namun apa yang berlaku sebaliknya. Rakyat, termasuk ahli-ahli Umno sendiri, terkejut dan kecewa kerana pucuk pimpinan akhbar itu yang begitu angkuh. terlepas begitu sahaja.

Ramai yang bertanya, mengapa "double standard" ini berlaku? Apa istimewanya NST? Sejak bila akhbar tersebut menjadi "kebal"? Di mana keadilan? Akhbar Sarawak Tribune juga memohon maaf di muka depannya, malah dua kali notis mohon maaf disiarkan. Dengan penuh penyesalan dan juga tanpa syarat, tetapi digantung untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.

Karikatur dan lukisan

Satu-satunya rumusan yang boleh dibuat ialah NST "bernasib baik" mungkin kerana ia tidak menyiarkan salah satu daripada 12 karikatur kontroversi itu. Ia sekadar menyiarkan kartun yang mempamerkan tulisan yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Tetapi tidakkah pokok persoalannya sama sahaja kedua-duanya menghina Nabi Muhammad satu dalam bentuk lakaran dan satu dalam bentuk tulisan. Terdapat satu tanda soal yang besar di sini dan rakyat akan sentiasa mencari-cari jawapannya...

Ramai pemerhati politik, sama ada di dalam atau di luar Umno, berpendapat Pak Lah gagal dalam ujian kali ini. Mereka sepakat merumuskan bahawa Presiden Umno itu telah menghampakan banyak pihak dan telah mendedahkan kelemahannya untuk dieksploitasi oleh musuh atau saingan politiknya.

Isu karikatur dan NST ini akan menjadi duri dalam daging dalam karier politik Pak Lah. Ia akan sentiasa dijadikan modal oleh parti-parti pembangkang dan saingan beliau di dalam Umno untuk memperlekehkan kewibawaan kepimpinannya. Isu ini sebenarnya belum selesai walaupun Pak Lah mengatakan ia sudah selesai...

Begitu juga dengan isu kenaikan harga minyak petrol dan diesel. Walaupun kerajaan telah memberi jaminan ia tidak akan dinaikkan lagi tahun ini, namun tidak semudah itu rakyat menerima rasional berkenaan.

Kenaikan 30 sen seliter atau 20 peratus dirasakan terlalu besar. Pengguna akan terus membandingkan kenaikan mendadak ini dengan senario pada era Tun Dr Mahathir Mohamad. Kenaikan yang "luar biasa" ini benar-benar menyentak poket rakyat. Bukan sekadar pemilik kenderaan akan terjejas, malah mereka yang berjalan kaki, pengguna LRT dan bas akan turut terasa kesannya.

Tekanan inflasi

Manakan tidak, sedangkan ketika harga petrol naik 5 sen pun, harga barangan turut naik, inikan pula apabila bahan api itu meningkat sebanyak 30 sen seliter.

Bagaimana kerajaan hendak menjawabnya apabila harga teh tarik, telur ayam, ikan, sayur-sayuran, nasi campur dan sebagainya naik selepas ini. Apa alasan hendak diberikan kepada permintaan syarikat kenderaan awam yang mahu menaikkan tambang LRT, bas, teksi dan feri?

Inflasi tidak dapat kita bendung lagi selepas ini. Nilai RM akan menjadi semakin kecil. Bersedialah untuk menghadapi kos hidup yang jauh lebih tinggi sedangkan pendapatan kita masih di takuk lama. Hujah mengatakan harga bahan petroleum Malaysia masih yang terendah di kalangan negara-negara Asia Tenggara bukanlah alasan yang mudah diterima oleh rakyat bagi mengjustifikasikan kenaikan besar ini.

Banyak pihak merasakan kerajaan bertindak kurang bijak kali ini. Mungkin menaikkan harga bahan api itu secara berperingkat-peringkat sepanjang tahun lebih mudah diterima daripada menaikkannya sekaligus. Para pemerhati juga tertanya-tanya adalah kenaikan mendadak sebanyak 30 sen seliter menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan hujung bulan ini satu isyarat yang kerajaan kekurangan dana untuk membiayai rancangan pembangunan lima tahun itu?

Sentimen dan psikologi rakyat terhadap kerajaan dan Pak Lah kini teruji. Ramai mula melatah menyebut-nyebut kembali nama Dr Mahathir. Rakyat kini terkenang jasa baik dan keberkesanan kepimpinan bekas Perdana Menteri Malaysia itu. Sentuhan wira dunia ketiga itu masih dirasai dan kini kembali dirindui...