Siasat Tabung Haji dan Hamid Othman - PAS
"Beliau perlu disiasat kerana pernah bertanggungjawab terhadap Tabung Haji," kata timbalan ketua pemuda PAS, Salahuddin Ayub hari ini.
"Bukan sekadar pihak pengurusan saja tetapi menteri yang berkaitan juga mestilah diberikan perhatian terutama oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk disiasat," tambahnya pada sidang akhbar di luar kompleks Tabung Haji, Kuala Lumpur pagi tadi selepas menyerahkan memorandum bantahan.
Beliau, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, menyerahkan memorandum 16 halaman sebagai membantah kenaikan bayaran haji dan menggesa tabung itu beroperasi seperti falsafah asal penubuhannya yang menguruskan kebajikan bakal jemaah haji dan tidak melabur dalam syarikat-syarikat bermasalah.
Salahuddin berkata, siasatan itu perlu dilakukan kelemahan Tabung Haji kini boleh dikesan daripada perkembangan lembaga itu sebelum ini.
"Dari segi moralnya, kita perlu melihat apa yang berlaku hari ini tentu ada urutannya dengan apa berlaku sebelumnya. Kita mahu orang politik iaitu menteri yang terlibat disiasat rapi supaya kita boleh tahu punca sebenarnya," katanya.
Akhir bulan lalu, akhbar melaporkan RM 7 juta dicuri daripada akaun pensendirian di Tabung Haji. Wang itu berjaya dikeluarkan setelah lelaki terbabit membuat urusan di Tabung Haji sebanyak 18 kali dalam tempoh enam bulan.
Berikutan itu, ibu pejabat polis Bukit Aman telah menyoal siasat beberapa kakitangan lembaga itu kerana disyaki membantu sindiket yang terbabit dengan kecurian wang itu.
Jumaat lalu, Abdul Hamid yang juga berkata BPR ada kuasa untuk menyiasat pelaburan Tabung Haji dan kehilangan wang simpanan RM7 juta daripada akaun pendeposit.
Beliau, kini dilantik penasihat agama Perdana Menteri, pernah memegang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri semenjak 1995 sebelum melepaskan jawatannya pada 5 Januari tahun ini.
Kerugian pelaburan
PAS mendakwa kenaikan bayaran menunaikan haji tahun depan turut disebabkan kerugian pelaburan yang dibuat lembaga itu, selain beberapa faktor yang dijelaskan oleh Tabung Haji.
"Akibatnya bebanan tersebut terpaksa dipikul oleh pencarum," memorandum itu dipetik.
Awal bulan lalu, Tabung Haji mengumumkan kadar baru antara 10 hingga 11.5 peratus dengan alasan kenaikan tambang kapal terbang, kadar sewa rumah di Madinah, perbelanjaan makanan dan kadar tukaran wang asing.
Ketika sidang akhbar yang sama, setiausaha Pemuda PAS Idris Ahmad pula mendakwa selepas Akta Tabung Haji dipinda pada 1995, "pelaburan tabung itu tidak lagi bersikap telus."
Pindaan itu membenarkan semua keputusan pelaburan dibuat secara terus oleh lembaga pengarah. Sebelum itu, keputusan itu dirujuk kepada panel pelaburan Tabung Haji.
"Oleh itu, ia (Tabung Haji) sepatutnya di kembalikan kepada fungsi asal agar ia (tabung itu) tidak dipengaruhi mana-mana elemen atau menerima tekanan parti politik untuk menyalahgunakan wang milik masyarakat itu," kata Idris.
Beliau juga berharap agar sebuah persatuan yang diwakili oleh pencarum tabung itu ditubuhkan seperti yang pernah dicadangkan oleh pengasas tabung itu, Profesor Diraja Ungku Aziz.
Selain itu, Idris juga berharap anggota panel pelaburan yang akan diumumkan esok itu terdiri daripada mereka yang berwibawa dan telus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, hari ini dilaporkan mengumumkan Tabung Haji melantik lapan ahli panel pelaburan.
Panel yang dipengerusikan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Capital Partners, Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail itu berkuat kuasa serta-merta bagi memulihkan imej lembaga itu.
Memorandum PAS itu diserahkan kepada pengurus besar Bahagian Komunikasi Korporat, Shahruddin Abu Bakar.

