Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah penyiaran iklan Hotlink Maxis di akhbar-akhbar tempatan yang disifatkannya bertentangan dengan nilai murni masyarakat.

Surat bantahan telah dihantar kepada pengurusan Maxis Communication Berhad hari ini.

Setiausaha Agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, iklan tersebut menggambarkan imej wanita berpakaian menjolok mata dalam situasi yang menonjolkan pergaulan bebas dan cara hidup yang mementingkan keseronokan semata-mata.

"Eksplotasi imej wanita untuk tujuan meraih keuntungan komersil itu hanya mengukuhkan tanggapan bahawa wanita adalah objek seksual.


"Menyampaikan mesej negatif dengan cara hidup mengutamakan keseronokan tanpa batas yang boleh meningkatkan pengaruh tidak sihat dalam diri dan pemikiran pembaca khususnya golongan muda," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, konsep iklan tersebut dan iklan yang serupa amat bertentangan dengan imej dan dasar negara yang berpaksikan Islam, nilai keagamaan dan ketimuran serta tidak sesuai dengan dasar lslam Hadhari yang didokong kerajaan.

Menurutnya, konsep iklan ini juga membayangkan ketidakpekaan pihak terbabit terhadap sensitiviti dan perasaan pembaca khususnya umat Islam serta masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai agama dan adab ketimuran.

Khairul Arifin meminta pihak Hotlink Maxis lebih berhati-hati dalam mengeluarkan iklan dengan mengambil berat adab dan nilai-nilai murni yang perlu disemai dalam masyarakat.

Katanya, pihak syarikat juga perlu menggunakan pendekatan iklan yang memaparkan gaya hidup yang lebih bersepadu dan sihat

Bagaimanapun, pada masa sama Abim menyambut baik pengisian laman web Hotlink yang mengadakan ruangan Islamic Services.

Beliau berkata, Abim menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh Maxis selama ini dalam program pembangunan masyarakat.