Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail menyifatkan media Malaysia pada masa ini sebagai "membosankan" kerana tidak menyiarkan apa yang hendak diketahui oleh rakyat.

Katanya, bermacam-macam perkara menarik yang sedang berlaku, tidak dilaporkan seperti keadaan di Terengganu.

"Kita boleh laporkan mengenai perubahan di sana, bandingkan keadaan semasa negeri itu diperintah oleh PAS dan dengan masakini," katanya kepada pemberita di kediamannya ketika menunggu ketibaan Menteri Penerangan DatukZainuddin Maidin yang mengunjungi beliau pagi ini. Abdul Samad, 84, yang berkerusi roda, menghidap sakit tua.

Abdul Samad, yang menjadi wartawan sejak 1940, berkata media Malaysia menjadi semakin membosankan kerana tidak menyiarkan berita yang ingin diketahui umum dan tidak memberi tumpuan kepada perkara yang sepatutnya seperti isu-isu untuk membangunkan negara.

Bekas Timbalan Ketua Pengarang dan Penasihat Jabatan Pengarang akhbar New Straits Times (NST) itu berkata : "Tidak banyak ditulis mengenai kebaikan perkauman. Pada hari ini, apabila seorang Melayu dan seorang Cina bergaduh, itu akan menjadi berita tetapi apabila mereka mesra dan berbaik-baik, itu tidak ditonjol secara positif."

Tapisan sendiri

Menurut laporan Bernama, mengenai kebebasan akhbar, Abdul Samad berkata kebebasan secara mutlak tidak pernah wujud di negara ini sebaliknya terdapat kebebasan mengeluarkan berita tanpa mengikut sesuka hati seseorang.

"Tetapi adakalanya, orang menjadi takut dengan bayang-bayang sendiri. Media hari ini mengamalkan penapisan sendiri yang keterlaluan.

"Bagi saya, semasa menjadi wartawan, saya 'bantai saja'. Apa saja yang saya boleh terbitkan, saya siarkan tetapi pada masa itu, saya rapat dengan ramai orang atasan. Jadi mereka tutup sebelah mata apabila saya siarkan berita kritikal," katanya.

Abdul Samad, yang dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924, juga menghasilkan beberapa buku dan novel termasuk satu berjudul "Journalism and Politics."