Pelobi parti Republican Jack Abramoff yang mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan penipuan dan rasuah mungkin terbabit dalam menguruskan pertemuan pada 2002 antara Presiden George W Bush dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, demikian menurut laporan akhbar Los Angeles Times.

Laporan tersebut disiarkan selepas Rumah Putih berkali-kali menafikan ada kaitan dengan Abramoff (foto), yang telah didakwa atas tuduhan menipu kaum asli Amerika yang mendapatkan perkhidmatannya untuk mewujudkan operasi perjudian mereka dan mempengaruhi Kongres Amerika.

Dr Mahathir yang tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbiran Clinton sebelum itu kerana sering membuat kenyataan anti-semitik dan kerana memenjarakan musuh politiknya, merasakan perjumpaan dengan Bush akan membantu meningkatkan lagi imejnya, lapor The Times.

Memetik seorang saksi yang tidak disebut namanya, akhbar itu berkata, Abramoff seorang Yahudi ortodok dan penyokong Israel telah menghubungi penasihat presiden Karl Rove sekurang-kurangnya empat kali dalam usahanya untuk menjayakan pertemuan tersebut.

Akhirnya, kata bekas rakannya itu, pejabat Rove telah menghubungi Abramoff untuk memaklumkan yang pemimpin Malaysia itu akan menerima jemputan rasmi daripada Rumah Putih, kata laporan itu lagi.

Pada bulan Mei 2002, Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Bush di Rumah Putih dan fotonya bersama presiden Amerika itu disiarkan di seluruh dunia.

Menurut akhbar itu lagi, Abramoff menerima ASS$1.2 juta(RM4.5 juta) dari kerajaan Malaysia kerana khidmat lobinya itu pada 2001, dan dokumen yang diperolehi olehpenyiasat Senat mengesahkan sekurang-kurangnya, AS$900,000 (RM3.4 juta) daripada jumlah tersebut.

Melalui saluran biasa

Bagaimanapun, Rumah Putih berkata, perjumpaan Bush-Mahathir itu diuruskan melalui saluran biasa.

Bulan lalu, Abramoff mengaku bersalah kerana mempengaruhi ahli-ahli Konges dan para pembantu mereka dengan menawarkan percutian ke luar negeri dan faedah-faedah yang lain dan kemudiannya meminta mereka membantunya.

Dia sering menyalurkan bayaran lobi melalui pertumbuhan yang tidak membuat keuntungan bagi mengelak membayar cukai atau menyembunyikan sumber-sumber dana diperolehi, lapor akhbar tersebut.

Pembayaran dari Malaysia itu dibuat melalui Pusat Antarabangsa Amerika, sebuah badan pemikir palsu yang diwujudkan oleh rakan Abramoff Michael Scanlon di Delaware, kata laporan itu.

Abramoff dan Scanlon telah mengaku menggunakan pusat tersebut untuk mengutip berjuta-juta ringgit daripada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan lobi mereka.

Dengan menyalurkan wang secara itu, Abramoff mengenalpasti pelanggannya dalam borang pengisytiharan lobi persekutan sebagai berpejabat di Delaware dan mengelak daripada didaftarkan dengan Jabatan Kehakiman sebagai ejen bagi kerajaan asing, laporan Times lagi.

- AFP