Bersih: PH bersalah edar kupon makanan percuma
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng yang memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada pelajar miskin di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai satu kesalahan.
"Bersih berpandangan semua bentuk penjamuan, pengaruh tidak wajar, rasuah dan pengembangan perasaan jahat dan permusuhan daripada kerusi dikosongkan boleh dianggap sebagai kesalahan pilihan raya.
"Justeru, kami berpandangan MP Miri telah pun melakukan kesalahan pilihan raya iaitu penjamuan," kata Bersih dalam satu kenyataan.
Bersih berkata, walaupun tempoh berkempen belum dimulakan namun tindakan itu masih boleh dianggap sebagai kesalahan.

“Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menunjukkan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, bekalan, wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.
“Seksyen 8 dan seksyen lain dalam akta sama seperti pengembangan perasaan jahat, permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah dimulakan dengan frasa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tidak boleh dilakukan,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan Dr Michael memberi sumbangan peribadi berbentuk kupon program makanan percuma kepada 300 murid kurang berkemampuan dari lima buah sekolah di sekitar Rantau.
Teo berkata pemberian kupon itu diberikan dengan setiap daripada mereka menerima sumbangan antara RM50 hingga RM150.
Mengulas lanjut, Bersih juga mengambil maklum bahawa, program pemberian kupon makanan percuma itu turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rantau, Dr S Streram.

“Ahli Parlimen Miri itu memberitahu beliau melakukan (pemberian kupon) kerana permintaan Streram.
“Kami berpandangan tindakan itu merupakan kesalahan pilihan raya walau bagaimanapun tertakluk kepada badan penguat kuasa yang berkaitan untuk bertindak terhadap tuduhan ini.
“Juga tertakluk kepada mahkamah untuk mentafsirkan undang-undang pilihan raya dan kami menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua pihak patuh kepada seksyen tersebut,” kata Bersih.
Sekolah yang terpilih untuk program itu ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min Kuala Sawah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kombok, SJKT Rantau, SK Sendayan dan SK Siliau.







