Suhakam terima kritikan: Musa
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerima segala kritikan dan kontroversi yang mempersoalkan kredibiliti badan itu dengan hati terbuka, kata pengerusi badan itu.
"Suhakam menganggap ia (kritikan) sebagai kritikan membina sesuai dengan konteks demokrasi yang kita amalkan di negara ini," kata Tan Sri Musa Hitam selaku Pengerusi Suhakam.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar untuk Media sempena Hari Hak Asasi Manusia Malaysia di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur pagi tadi.
Pesuruhjaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin turut berkata Suhakam menerima setiap kritikan sebagai "kritikan yang adil".
"Kita (Suhakam) terima kritikan itu secara terbuka kerana seperti dikatakan (Suhakam) dipengaruhi oleh pemikiran barat, maka biar ia (kritikan) diterima secara terbuka (seperti di barat)," kata beliau, merujuk kepada reaksi negatif terhadap laporan siasatan awamnya baru-baru ini.
Siasatan selama empat bulan ke atas perilaku polis di perhimpunan pembangkang November lepas di Lebuhraya Kesas mendapati polis telah mencabuli beberapa hak asasi manusia dengan menggunakan kekerasan terhadap orang awam, menyebabkan kerosakan serta merampas harta persendirian, melengahkan rawatan terhadap tahanan serta gagal memberi ubat kepada yang tercedera.
Laporan tersebut telah dikritik hebat dan dikatakan "bias" serta "dipengaruhi pemikiran barat" oleh kerajaan sementara ia disambut baik oleh pihak pembangkang.
Ikut bidang kuasa
Anuar bagaimanapun mempertahankan keputusan laporan itu dan berkata ia berdasarkan fakta.
"Jika seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak baik maka dalam dalam apa budaya pun perkara yang tidak baik itu tetap dianggap tidak baik," katanya semasa berucap di seminar yang sama.
Dalam laporan setebal 66 halaman yang diumumkan pada 20 Ogos, Suhakam antara lain mencadangkan polis tidak menggunakan kekerasan ketika menyurai demonstrasi aman dan bersikap lebih longgar apabila mengeluarkan permit perhimpunan awam.
Dalam pada itu, Musa berkata dalam sebarang konteks pun badan itu bertindak mengikut bidang kuasa yang telah diarahkan.
Katanya setiap laporan badan itu dihantar kepada kerajaan dan implimentasinya bergantung kepada kerajaan sendiri.
"Kewujudan Suhakam sendiri digubal oleh Parlimen. Laporan yang dilakukan oleh Suhakam juga dihantar ke Parlimen dan bukannya Yang di-Pertuan Agong atau individu lain," jelas Musa.
Beliau juga berharap suatu hari nanti badan itu dapat menwujudkan "budaya hak asasi manusia" seperti yang kerajaan mahukan melalui penubuhan Suhakam.
Menurutnya lagi negara ini berjaya dalam mempertahankan hak asasi dalam aspek ekonomi, sosial dan kebudayaan dengan baik; bagaimanapun, hak asasi dalam politik pula "banyak susah".
"Ini kerana lebih demokratik sesebuah negara itu maka lebih banyak kritikan, cabaran dan 'banyak susah' yang akan ia hadapi. Dan terpulang kepada rakyatnya kerana demokrasi ditentukan oleh rakyat sendiri," jelasnya.
Peranan penting media
Musa juga berkata media memainkan peranan penting untuk bersama badan itu dalam "mempekakan" masyarakat mengenai hak asasi manusia di negara ini.
"Kumpulan ini (media) adalah antara yang terpenting yang dapat bersama Suhakam untuk 'mempekakan' kepada masyarakat tentang hak asasi manusia," katanya.
Katanya lagi kemunculan media alternatif terutama yang berbentuk elektronik dan media dari parti pembangkang telah menjadikan rakyat dan kerajaan lebih sensitif terhadap banyak perkara.
"Walaupun begitu ini merupakan perkembangan situasi yang baik," katanya.
Menurut beliau, dalam konteks negara ini kecenderungan media arus perdana untuk menjadi prokerajaan tidak boleh disangkal.
"Peranan media arus perdana yang lebih menyokong kerajaan adalah kerana ia dipunyai oleh mereka yang rapat atau yang sememangnya berada dalam parti pemerintah. Maka kita tidak boleh menyangkal kecenderungan itu," kata Musa lagi.

