'PAS nak kritik boleh, tapi bohong jangan'
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tetap mengenang PAS sebagai parti sahabat yang pernah bersamanya suatu ketika dulu.
Bagaimanapun katanya apabila PAS terus menyerangnya - termasuk mendakwa mahu menggugat Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri - beliau terpaksa bersuara dan menegur.
Untuk tempoh selama dua atau tiga tahun lalu, kata Anwar, beliau tidak memberikan reaksi kepada tuduhan dilemparkan PAS.
Namun kini katanya parti terbabit dilihat cuba melaga-lagakan beliau dengan Mahathir.
"Ini kerja PAS, sebab itu saya mula menegur," katanya.
Sebelum itu Anwar menghadiri majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di ibu pejabat akhbar itu di Kuala Lumpur hari ini.
Kata Anwar lagi tindakannya itu turut mendapat teguran apabila dilihat bersikap keras kepada PAS, namun ia tidak bermaksud begitu.
Jangan lagakan kami
"Saya tengok ada usaha berterusan dan akhirnya ada lagi usaha (melaga-lagakan beliau dengan Mahathir).
"Setelah bersusah payah menderita selama 20 tahun pun nak lagakan saya dengan Mahathir, maka saya pilih untuk jelaskan," katanya.
Menurut Anwar lagi isu beliau mahu menyingkirkan Mahathir melalui undi tidak percaya di parlimen mula dibangkitkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Kata anggota parlimen Port Dickson itu berkata beliau mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti dalam PH dan semuanya mengesahkan tiada sebarang usaha untuk mengetepikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Baca PAS rela jadi lilin membakar diri
"Kami terikat dengan perjanjian yang kami meterai iaitu untuk memberi sokongan kepada Tun (Mahathir) menjadi perdana menteri.
"Oleh itu soal nak batalkan (perjanjian tersebut) adalah tidak mungkin. PKR memberi sokongn kepada beliau seperti yang dijanjikan, jadi jangan cuba laga-lagakan kami," katanya.
Menurut Anwar beliau tiada masalah untuk berbeza pendapat, termasuk dengan PAS.
Namun katanya jika ia membabitkan fitnah, ia tidak boleh dibiarkan.
"Sebab itu saya katakan kepada PAS, dia boleh beri pandangan berbeda, dia boleh kritik saya tapi untuk dia berbohong atau fitnah, maka saya bagi pandangan agak tegas: jangan," katanya.

