Perunding Kerajaan Filipina dan puak pemisah Islam bertemu di Malaysia semalam bagi pusingan terbaru rundingan membabitkan isu-isu kontroversi berhubung tanah nenek moyang.

Menurut seorang pegawai tertinggi Filipina, Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Manila dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang lebih 40 tahun berjuang untuk menubuhkan negara Islam di selatan Filipina.

"Panel 22 pegawai berada di sini untuk menghadiri rundingan tersebut. Saya rasa ia berjalan mengikut yang kita kehendaki," kata Penasihat Presiden, Jesus Dureza kepada AFP selepas dua hari rundingan itu diadakan di sebuah lokasi rahsia.

Dureza berkata, dua pihak terbabit bertemu untuk membincangkan isu-isu kontroversi berhubung tanah nenek moyang.

"Ia merupakan bahagian yang penting dalam rundingan ini. Kami berharap dapat mencapai kemajuan dalam rundingan tersebut," katanya.

Rundingan sebelum ini berakhir September lalu di kawasan peranginan Port Dickson, dengan mencapai beberapa kemajuan berhubung usaha damai di wilayah selatan Filipina.

Manila dan MILF menandatangani perjanjian genjatan senjata pada 2001 dan memulakan rundingan damai.

Bagaimanpun, satu penghalang utamanya ialah tuntutan puak pemisah itu supaya diiktiraf tanah nenek moyang mereka atau kawasan di wilayah selatan yang pernah didiami majoriti orang Islam.

Para pengawai sebelum ini berkata, pengiktirafan tanah moyang orang Islam mungkin melanggar hak hartanah dan kawasan yang terletak di bawah bidangkuasa kerajaan tempatan.

Mekanisme berjalan lancar

Umat Islam mengadu mereka telah diusir keluar apabila agama Kritian berkembang di wilayah tersebut berkurun-kurun lalu.

Dureza berkata, Manila tidak akan menetapkan tarikh untuk menandatangani perjanjian damai dengan MILF.

"Kita tidak boleh tetapkan tarikhnya. Rundingan masih berjalan," katanya.

Mengenai pasukan pemantau genjatan senjata dari Malaysia, Brunei dan Libya di kawasan bergolak di wilayah Filipina, beliau berkata,: "Mekanismenya berjalan lancar. Ada satu dua kejadian, tetapi ianya dapat dibendung."

Malaysia dan beberapa anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganggotai pasukan pematau tersebut bagi menguatkuasakan genjatan senjata di wilayah berkenaan.

- AFP