GLOBAL | Gara-gara menjalankan 'kempen hitam' terhadap calon presiden Indonesia, tiga wanita ditahan polis untuk disoal siasat, manakala telefon genggam mereka dirampas.

Media melaporkan suspek yang belum didedahkan identitinya itu ditahan di Telukjambe, Karawang di Jawa Barat, semalam.

Kempen hitam merujuk kepada propaganda berdasarkan hasutan dan fitnah.

Melalui kempen tersebut wanita berusia di antara 38 tahun dan 49 tahun itu mendakwa kemenangan Jokowi dan Ma'ruf Amin akan menyebabkan azan akan diharamkan berkumandang.

Turut disebarkan, kerajaan nanti didakwa akan melarang orang perempuan bertudung, manakala perkahwinan sejenias akan dihalalkan.

Memetik kenyataan Ketua Polis Karawang, Nuredy Irwansyah Putra, CNN Indonesia melaporkan suspek terbabit ditahan selepas rakaman video mereka berkempen menjadi tular di media sosial.

Melalui rakaman berkenaan suspek dilihat pergi dari rumah ke rumah dan meyakinkan orang ramai - dalam bahasa Sunda - bahawa Jokowi akan melarang azan serta membenarkan pernikahan sejenis jika terpilih menjadi presiden sekali lagi.

Cari dalang di sebalik kempen hitam

Untuk rekod Jokowi - atau nama sebenarnya Joko Widodo - bergandingan dengan Ma'ruf yang Ketua Majlis Ulama Indonesia bagi mendapatkan mandat rakyat negara itu untuk masing-masing menjadi presiden dan timbalan presiden.

Di sisi lain bekas panglima tentera Indonesia, Prabowo Subianto, berpasangan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno, cuba menafikan Jokowi dan Ma'ruf.

Untuk rekod pertembungan di antara Jokowi dan Prabowo adalah yang kedua kalinya. Mereka bersaing untuk jawatan presiden kali pertama pada 2014.

Bagaimanapun kali ini persaingan tersebut turut menyaksikan sentimen agama dimainkan dengan giat oleh pihak tertentu.

Pemilihan presiden akan berlangsung serentak dengan pilihan raya umum negara itu pada 17 Apr ini.

Sementara itu jurucakap kumpulan kempen Jokowi - Ma'ruf, Ace Hasan Syadzily, menegaskan kempen hitam itu memberikan impak buruk kepada pihaknya.

Justeru kata Ace polis digesa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenal pasti dalang di sebalik gerakan tersebut.