Sokongan muda pada PKR merosot?
Seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan sokongan dan pembabitan orang muda terhadap parti itu merosot teruk kerana pemimpin tidak turun padang mendekati golongan tersebut.
Seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan sokongan dan pembabitan orang muda terhadap parti itu merosot teruk kerana pemimpin tidak turun padang mendekati golongan tersebut.
Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, selepas pilihanraya umum 2004, pandangan orang muda terhadap PKR sudah mula berubah. .
"Meskipun kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan kebangkitan mereka dulu, mood orang muda terhadap PKR sudah jauh berkurangan berbanding pada tahun-tahun awal penubuhan PKR," katanya.
Katanya, orang muda yang satu ketika dulu menyokong kuat PKR mengambil sikap tunggu dan lihat dan ini tidak baik kepada parti.
"Anda semua tahu pada peringkat awal penubuhan PKR pada 1999, orang muda memainkan peranan yang amat besar sehingga beberapa pemimpin parti memenangi beberapa kerusi dalam pilihanraya umum tahun itu.

"Mereka bekerja kuat tanpa disuruh dan dibayar sehingga organisasi parti tersusun seolah-olah dilakukan oleh golongan profesional," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kezaliman kerajaan
Bagaimanapun, katanya, selepas pilihanraya umum 2004, sokongan orang muda terhadap PKR sangat merosot dan mereka tidak memainkan peranan aktif lagi.
Beliau berkata, antara yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah kurangnya pemimpin muda PKR yang turun padang untuk mendekati golongan tersebut.
"Apabila tidak didekati, mereka mengambil pendirian mendiamkan diri dan sekaligus tidak menghiraukan lagi aktiviti yang dibuat oleh PKR.
"Ini sangat merugikan PKR kerana orang muda boleh menjadi tenaga penting seperti yang berlaku pada awal pemecatan Datuk Seri Anwar dahulu," katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Badrul Hisham Shaharim berkata, pembabitan begitu ramai orang muda dalam PKR pada tahun 1998 lahir daripada kemarahan terhadap kezaliman kerajaan ke atas Anwar.
Katanya, kesedaran golongan muda terhadap politik negara ketika itu sangat besar menyebabkan PKR mendapat sokongan daripada mereka.
"Gelombang tersebut bukan boleh dibuat-buat kerana ia lahir secara tiba-tiba dan di luar jangkaan sama sekali," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ini bukan bermakna pimpinan Pemuda PKR tidak melakukan sebarang usaha untuk menarik sokongan orang muda terhadap parti itu.
Badrul Hisham berkata, pihaknya sedang giat mengadakan kursus kepimpinan kepada pemimpin muda supaya makna perjuangan parti lebih difahami.
Katanya, cara ini lebih penting daripada mengumpulkan artis, membayar wang saku dan makan minum untuk menarik sokongan dari orang muda.

