Bekukan dan siasat PMI, gesa Pemuda Negara
"(Kami) menerima aduan daripada mahasiswa yang mendakwa penubuhan PMI tidak relevan lagi kepada mahasiswa disebabkan gerakan mereka seolah-olah memecahkan perpaduan," dakwa timbalan presiden Persatuan Pemuda Negara Malaysia (PPNM), Ezaruddin Abd Rahman hari ini.
"Kebanyakan agenda yang diperjuangkan oleh mereka tidak banyak membawa kebaikan kepada mahasiswa, sebaliknya menyeru mahasiswa (agar bersifat) antikerajaan dan bertindak militan."
PPNM, yang pernah melaporkan 10 persatuan pelajar yang tidak berdaftar Jun lalu, juga meminta kerajaan "menyelongkar" kegiataan PMI yang didakwa mempunyai hubungan dengan PAS dan Angkata Belia Islam Malaysia (Abim).
Ezaruddin mendakwa pemimpin PMI bertindak "ekstrem" sehingga menimbulkan perbalahan antara kaum di kampus kerana menyekat aktiviti kebudayaan di universiti.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut kejadian itu dan kampus terbabit.
Universiti Teknologi Malaysia minggu lalu dilaporkan membubarkan PMI selepas seorang bekas aktivisnya, Wan Noor Hayati Wan Alias, mendakwa gerakan bawah tanah secara tersusun wujud di universiti-universiti tempatan dengan menggunakan PMI dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci kerajaan.
Sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga membubarkan Kelab Usahawan dan Persatuan Mahasiswa Intelek (berperanan seperti PMI) dengan dakwaan dua persatuan ini terlibat dengan kegiatan antikerajaan. Empat puluh tujuh pensyarah dikenakan tindakan disiplin, termasuk seorang dipecat dan tiga lagi ditarik biasiswa.
Dalam kenyataan kepada malaysiakini, PPNM juga menggesa kerajaan menyiasat pensyarah-pensyarah penasihat PMI kerana didakwa gagal memantau kegiatan pelajar dalam persatuan itu.
Ezaruddin berkata PMI di seluruh IPT awam disatukan di bawah Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) "bagi membuktikan mereka suara yang kuat dan mampu menggegarkan kerajaan apabila diperlukan oleh parti pembangkang."
Kuda tunggangan Umno-BN
"Apabila terdapat isu yang memerlukan sokongan mahasiswa, PAS menggunakan PMI untuk meraih sokongan seperti (dalam) isu-isu wang ehsan, tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan (pemecatan dan perbicaraan) Anwar Ibrahim," katanya.
"PMI kelihatan sebuah persatuan yang ditubuhkan semata-mata untuk kepentingan PAS di kampus."
Sementara itu Pemuda PAS pula menggesa pentadbir-pentadbir universiti menolak tekanan yang dibuat oleh kerajaan sejak mutakhir ini.
"Universiti mesti membebaskan diri daripada terus menjadi alat pemerintah Barisan Nasional. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan kepada universiti kerana telah dicucuk hidung dan menjadi kuda tunggangan Umno-BN untuk mencapai matlamat politik sempit dan zalim mereka," kata ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar dalam surat terbukanya hari ini. Satu salinan dikirim kepada malaysiakini.
Beliau juga mempersoalkan sikap pentadbir universiti yang tidak membantah terhadap isu-isu yang timbul kini.
"Sebaliknya mereka menurut sahaja apa yang diperlukakukan ke atas mereka. Di manakah nilai keilmuan pentadbir, pensyarah dan mahasiswa?" katanya.
Sejak Julai, akhbar-akhbar melaporkan secara besar-besaran tentang kewujudan 10 persatuan tidak berdaftar yang menjalankan kempen membantah penggunaan ISA bulan sebelumnya.
Pelajar "militan" juga didakwa terlibat dalam kebakaran sebuah dewan utama di Universiti Malaya tetapi siasatan jabatan bomba kemudiannya membuktikan kejadian itu bukan perbuatan khianat.
Sementara baru-baru ini, Universiti Utara Malaysia pula sedang menyiasat 10 pensyarah dan empat pelajar yang didakwa terlibat dengan "gerakan bawah tanah."
Minggu lalu malaysiakini melaporkan tujuh pelajar, yang dituduh di mahkamah berhubung perhimpunan anti-ISA pada Jun, digantung pengajian sehingga kes mereka selesai. Sementara tindakan tatatertib dikenakan kepada aktivis-aktivis pelajar di IPT awam.
Laporan-laporan akhbar itu turut memetik kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan dan parti pemerintah yang mengecam aktivis pelajar dan menggesa tindakan keras dikenakan terhadap mereka dan pensyarah yang disifatkan "antikerajaan."

