Orang Melayu yang berhijrah ke Kuala Lumpur perlu membuang sikap anti-kerajaan kerana segala kemakmuran dan kejayaan yang mereka nekmati sekarang ini adalah atas bantuan kerajaan, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Menurutnya, orang Melayu perlu berterima kasih dan bersyukur kerana kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang seperti pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata, mereka perlu menyokong sebarang usaha kerajaan membangunkan orang Melayu di bandaraya.

"Malangnya ramai yang tidak menyokong kerajaan serta Umno sedangkan parti itu memainkan peranan penting membantu mereka.

"Walaupun tinggal lama di Kuala Lumpur mereka pulang mengundi di kampung masing-masing," katanya dalam pertemuan dengan malaysiakini di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras berkata, orang Melayu juga tidak boleh bersikap tamak kerana amalan itu boleh menutup peluang orang lain untuk berjaya.

Dalam pertemuan itu, Syed Ali juga bercakap mengenai sikap golongan setinggan yang enggan berpindah ke rumah kekal.


Projek Perumahan Rakyat

Beliau berkata, kerajaan menyediakan puluhan ribu unit rumah murah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan setinggan tetapi ramai yang menolak.

"Tahun ini sahaja kerajaan membina kira-kira 20,000 unit PPR tetapi banyak yang kosong kerana tidak mendapat sambutan di kalangan setinggan.

"Mereka memberi pelbagai alasan termasuk jauh dari tempat asal tetapi saya rasa mereka ada rumah lain," katanya.

Syed Ali berkata, setinggan yang enggan berpindah ke rumah kekal tidak wajar tinggal di Kuala Lumpur kerana perbuatan mereka itu menyusahkan kerajaan.

Katanya, apabila tinggal di bandaraya mereka perlu mematuhi undang-undang setempat dan bukannya mengikut kemahuan sendiri.

Beliau berkata, penguasaan orang Melayu di Kuala Lumpur adalah kecil tetapi kerajaan khususnya Umno membantu mereka supaya dapat bersaing dengan kaum lain.