Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pihak media bersikap lebih bertanggungjawab dalam membuat liputan terutama dalam isu yang sensitif seperti agama dan kaum.

Katanya pihak media yang kini menikmati lebih kebebasan tidak harus hanya memikirkan soal menyiarkan berita sensasi bagi melariskan jualan tetapi juga sensitiviti rakyat dan perpaduan kaum.

"Dalam membuat laporan, fakta mesti betul. Keduanya, tidak ada kecenderungan untuk adu domba sesama kita terutama dalam perkara sensitif seperti agama dan kaum.

"Walaupun Malaysia kukuh dari segi perpaduan, masing-masing ada sensitiviti. Dalam era keterbukaan ini, perlu dilakukan dengan cara berhati-hati dan bijaksana," katanya dalam Wawancara Khas Program Bersama Menteri selama satu jam yang disiarkan menerusi TV1 semalam.


Menurut laporan Bernama, Najib seterusnya berkata tindakan sembilan menteri kabinet bukan Islam menarik balik memorandum mereka Sabtu lepas berjaya mengendurkan ketegangan yang timbul berikutan isu desakan untuk meminda Artikel 121 (1A) Perlembagaan Malaysia.

Artikel berkenaan adalah satu peruntukan Perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Najib berkata tindakan menteri-menteri terbabit menyerahkan memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat dan perlu dibendung segera.

Persepsi perpecahan

Beliau berpendapat perbuatan mereka itu tidak tepat kerana memberi persepsi wujudnya perpecahan dalam kabinet di kalangan menteri Islam dan bukan Islam.

"Langkah menarik balik itu amat wajar. Lihat, bila tarik balik memorandum, suasana kembali tenteram," katanya.

Pada 18 Jan lalu, sembilan menteri kabinet bukan Islam telah mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama. Mereka kemudiannya menarik balik memorandum itu selepas banyak pihak mempertikaikan tindakan itu memandangkan perkara berkenaan boleh dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Masalah pertukaran agama timbul berikutan kematian pendaki Everest, Sarjan M. Moorthy atau nama Islamnya Muhamad Abdullah, apabila balunya S. Kaliammal dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) terlibat dalam perebutan untuk mengebumikan jenazahnya.


Moorthy, yang meninggal dunia pada 20 Dis, akhirnya dikebumikan oleh JAWI pada 28 Dis berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam kes berkenaan.


Menjawab satu soalan menerusi e-mel daripada seorang penonton, Najib menafikan insiden itu turut mencerminkan bahawa mesyuarat kabinet kini kurang berkesan.

"Mesyuarat Kabinet kita selama ini memang merupakan mesyuarat yang berlangsung dalam keadaan yang begitu terbuka. Kita boleh bincangkan apa saja masalah, walaupun masalah sensitif melibatkan agama, kaum, budaya dan pelajaran. Kabinet Malaysia berjaya menangani begitu banyak masalah," katanya.