Terjemahan Universiti Nottingham cawangan Malaysia(UNMC) di Semenyih menafikan dan tiada tahu menahu mengenai dakwaan wujudnya masalah dalam pengendalian program MBA di cawangan tersebut.

Dalam jawapan melalui emel kepada malaysiakini hari ini, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Brian P Atkin berkata, tidak ada pelajar MBA yang membuat aduan rasmi mengenainya.

Sambil menegaskan yang pihaknya sentiasa mengambil serius terhadap aduan pelajar, beliau berkata: "Saya tidak tahu mengenai sebarang aduan yang anda maksudkan itu dan menurut rekod kami, tiada aduan rasmi diterima daripada pelajar MBA.

"Terdapat prosedur yang jelas untuk pelajar menyuarakan kebimbangan mereka. Apabila aduan dibuat, 'sistem' tersebut mengambil alih dan prosedur penuh aduan akan dijalankan.

"Dalam kes ini, prosedur berkenaan tidak dijalankan kerana kami tidak menerima aduan daripada pelajar."

Terdapat dakwaan ada usaha untuk menyembunyikan perkara yang sebenarnya berlaku di kampus tersebut supaya tidak menjejaskan proses pembaharuan akreditasi program MBA di situ.

Bekas pensyarah Fakulti Pengajian Perniagaan, Dr Geoffrey Williams berkata, pihak pentadbiran bersikap tidak peduli terhadap bukti yang mendedahkan kelemahan dalam pengurusan dan pengendalian program berkenaan.

Williams, pensyarah ekonomi kewangan yang dipinjamkan dari Universiti Nottingham UK, telah mengemukakan dokumen 170 muka surat kepada Persatuan MBA (AMBA) minggu lalu, yang mengandungi aduan, antaranya, mengenai perbezaan dalam skim permarkahan di Malaysia dan UK.

AMBA mengeluarkan akreditasi bagi program MBA yang dijalankan di seluruh dunia.

'Tiada pelanggaran prosedur'

Dalam jawapannya, Atkin berkata kebimbangan Williams itu "telah dibincangkan oleh Lembaga Peperiksaan di Malaysia dan UK.

"Didapati tidak berlaku sebarang pelanggaran prosedur," katanya sambil menafikan dakwaan berlakunya percubaan untuk memusnahkan bukti sebelum AMBA membuat penilaiannya.

Malah, katanya, program MBA telah menerima akreditasi selepas mendapatkan akreditasi sementara tiga tahun lalu, sepertimana yang dilakukan untuk program-program baru yang lain.

"Ya, (ini dilakukan dalam bulan) Desimber 2005 (tetapi kami masih menunggu laporan rasmi)," katanya.

Sambil menafikan keraguan yang timbul berhubung akreditasi tersebut yang perlu diperbaharui setiap lima tahun beliau berkata, panel AMBA telah memberi maklumbalas lisan yang positif dalam lawatannya bulan lalu.

"Dalam maklumbalas lisan itu, penal tersebut mengatakan mereka tidak melihat sebarang perbezaan antara kualiti program MBA yang ditawarkan di Malaysia dan di Nottingham di UK (panel yang sama melawat Nottingham berhubung soal akreditasi beberapa minggu yang lalu)," katanya.

Beliau turut menjawab semua tuduhan-tuduhan yang lain.

Apakah hasil lawatan pegawai AMBA pada awal Disember untuk membuat penilaian mengenai program MBA?

Butiran terperinci mengenainya belum ada kerana kami belum menerima laporan bertulis muktamad, tetapi berdasarkan kepada maklumat yang diberikan dalam sesi maklumbalas tidak rasmi di akhir lawatan tersebut, hasilnya adalah positif.

Bila dan mengapa panel AMBA perlu datang sekali lagi?

Lawatan akreditasi yang akan datang ialah dalam tempoh lima tahun lagi (2010); ini adalah keputusan terbaik yang boleh dibuat oleh penal AMBA.

Apakah syarat-syarat yang ditetapkan oleh AMBA menjelang tempoh pembaharuan akreditasi tersebut?

Tidak ada.

Saya telah dimaklumkan, kakitangan fakulti diarahkan memusnahkan semua bukti sebelum lawatan AMBA bulan lalu. Mengapa arahan itu dikeluarkan?

Tiada seorang pun yang diarah memusnahkan dokumen-dokumen rasmi sebelum lawatan AMBA, inilah kali pertama saya mendengar tuduhan yang tidak berasas ini.

Apakah hasil siasatan dalaman yang diketuai oleh Prof Alistair Bruce yang menolak dakwaan kakitangan fakulti dan pelajar, berlaku perbezaan dalam skim pemarkahan?

Oleh kerana kita tidak menerima sebarang aduan daripada pelajar berhubung perbezaan pemarkahan tersebut, maka tiada siasatan rasmi dijalankan. Bagaimanapun, kebimbangan yang ditimbulkan oleh kakitangan itu telah dibincang dalam Lembaga Peperiksaan Nottingham dan didapati tidak berasas. Saya tidak terbabit dalam perbincangan tersebut kerana ia merupakan proses dalaman Sekolah Pengajian Perniagaan.

Bagaimana dan setakat manakah perbezaan skim pemarkahan yang didakwa wujud itu, menjejaskan gred keseluruhanan pelajar MBA?

Perbezaan itu tidak berlaku, dan kerana itu tidak ada kesan terhadap gred pelajar.

Adalah Lembaga Penuh Peperiksaan di UK menyedari adanya aduan tersebut, dan apakah langkah yang diambil mengenainya?

Semua maklumat mengenai kemajuan pelajar program MBA dibincangkan secara terperinci dalam Lembaga Penuh Peperiksaan di UK. Dalam kes ini, kebimbangan yang dibangkitkan oleh seorang kakitangan telah dibincang oleh pihak lembaga, termasuk pemeriksa luar (lihat soalan di atas).

Berapakan bayaran bagi mendapatkan akreditasi MBA bagi pertama kali dan untuk pembaharuan?

Akreditasi AMBA diuruskan oleh Sekolah Pengajian Perniagaan di Nottingham dan saya tidak terbabit dalam urusan pembayaran yurannya. Selepas ini, komponen Malaysia dalam akreditasi AMBA akan diserahkan kepad saya, selepas itu, bolehlah saya menjawab soalan tersebut.

Apakah struktur yuran untuk mengikuti program MBA di UNMC?

Ini boleh didapati dalam lamanweb kami. Berita asal