Kerajaan setuju tubuh segera suruhanjaya bebas polis
Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Bebas bagi memantau tingkah laku polis secepat mungkin, ke arah penambahbaikkan perkhidmatan polis, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini.
Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Bebas bagi memantau tingkah laku polis secepat mungkin, ke arah penambahbaikkan perkhidmatan polis, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini.
Perdana Menteri berkata, pejabat peguam negara sedang memperhalusi perkara tersebut sebelum suruhanjaya itu ditubuhkan.
Bercakap kepada pemberita selepas menpengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat Umno di sini, Abdullah berkata 25 peratus daripada 125 cadangan suruhanjaya penambahbaikkan polis telah dilaksanakan setakat ini manakala yang lain akan dilaksanakan dalam jangka pendek dan panjang.
Cadangan penubuhan suruhanjaya bebas untuk memantau tingkah laku polis dibuat oleh Suruhanjaya itu serta Suruhanjaya Untuk Menyiasat Prosedur Tetap Operasi, Kaedah-kaedah atau Peraturan-peraturan Berhubung Dengan Pengendalian Pemeriksaan Tubuh Berkenaan dengan Penangkapan dan Penahanan oleh Polis.
Abdullah berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat MT tetapi dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan antara Menteri yang dipengerusikannya pagi tadi.
Buang sikap menentang
Sementara itu, Bernama melaporkan, Majlis Peguam menggesa polis mengelak daripada sikap menentang perubahan tetapi sebaliknya melakukan pembaharuan kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk meraih semula keyakinan, kepercayaan dan rasa hormat rakyat Malaysia.
Pengerusi majlis itu Yeo Yang Poh berkata penentangan itu, seperti dinyatakan oleh Suruhanjaya Siasatan bagi kes tahanan wanita diarahkan melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan berbogel, merupakan "tidak sepatutnya menjadi halangan kepada kemajuan sebenar".
"Kurang telus dan akauntabiliti di pihak polis, seperti dinyatakan oleh suruhanjaya itu, perlu ditangani segera," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas pemerhatian suruhanjaya itu bahawa polis dilihat sebagai menentang perubahan walaupun semua bukti menunjukkan ia perlu berubah. Laporan suruhanjaya itu yang mengandungi hasil siasatan berkenaan diedarkan kepada umum semalam.
Menurut Bernama, Yeo berkata Majlis Peguam menyokong hasil siasatan dalam laporan itu.
"Suruhanjaya itu telah menjalankan siasatan yang berani dan berkesan dan beberapa cadangannya amat bernas. Laporan itu wajar mendapat pujian dan sokongan," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan itu merupakan penunjuk keburukan polis, dan perlu dijadikan iktibar oleh polis agar segera berhenti melakukan amalan ketuk-ketampi itu, dan segera mengkaji semula amalan lain dalam melayani tahanan bagi memastikan mereka benar-benar mematuhi undang-undang dan prinsip hak asasi manusia," katanya.
Yeo berkata, Majlis Peguam juga menyokong gesaan suruhanjaya itu bagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), seperti disyorkan sebelum ini oleh sebuah lagi suruhanjaya siasatan polis.
Jangan berlengah
"Majlis Peguam menggesa kerajaan segera melaksanakan cadangan itu tanpa berlengah. IPCMC merupakan kaedah terbaik untuk menyediakan sekatan dan imbangan yang efektif mengenai pelaksanaan kuasa oleh polis, dan kaedah telus bagi mangsa salah laku untuk mendapatkan keadilan," katanya.
Yeo berkata laporan itu adil kepada polis.
"Laporan itu mengiktiraf pemeriksaan badan wajar dilakukan tetapi perlu sesuai dan mengikut peraturan, supaya ia dilakukan dalam keadaan yang ada justifikasi dan memastikan maruah tahanan dihormati," katanya.
Majlis itu juga menggesa aktivis sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam menyatakan sokongan mereka kepada cadangan suruhanjaya itu serta cadangan suruhanjaya polis sebelum ini.
Ini akan mendorong kerajaan melaksanakan iltizam politik untuk melakukan pembaharuan menyeluruh.
"Malaysia sebagai sebuah negara patut belajar daripada kemelut ini yang telah mengaibkan negara. Penderitaan tahanan dan pencabulan hak asasi manusia secara berleluasa perlu dihentikan," katanya.

